Pilih Bahasa

Pas Sabah sokong perkasa federalisme

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Aminuddin Aling – Gambar SNT/Ihsan Pas Sabah

KOTA KINABALU: Pas Sabah menyokong penuh kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu Kerajaan Persekutuan baharu mengutamakan agenda memulihkan ekonomi, meningkatkan tahap pendidikan dan pembangunan seimbang di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling beranggapan bahawa kenyataan tersebut merupakan sesuatu yang sangat bermakna khususnya bagi rakyat Sabah.

“Pembangunan yang dijalankan mestilah seimbang dan berkualiti untuk masyarakat.

“Selain itu Pas Sabah juga mengharapkan agar kepimpinan kerajaan Sabah memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sokongan itu sangat penting untuk memberi laluan kepada Muhyiddin melaksanakan misi pembangunan dengan lebih harmoni dan saksama.

Di samping itu, beliau juga menekankan supaya Kerajaan Persekutuan menjaga prinsip Federalisme dengan semua negeri di Malaysia. – SabahNewsToday