Pilih Bahasa

Pas Sandakan giat usaha kebajikan di bulan Ramadan

Oleh Sabah News Today

SANDAKAN: Sempena bulan Ramadan, Pas Sandakan menggiatkan usaha menyalur bantuan barangan dapur kepada umat Islam yang memerlukan.

Yang DiPertua Pas Sandakan, Sahar Abdul Majid berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan Pek Barangan Dapur kepada fakir miskin di Kampung Letat Jaya, di sini semalam.

Pas Sandakan menyalurkan bantuan barangan dapur kepada umat Islam memerlukan di Sandakan. Gambar SNT/Ihsan Pas Sandakan

Sahar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Sabah berkata Pas Sandakan telah melancarkan Misi Kasih Ramadan (MKR) pada hujung bulan Sya’ban lalu dengan mengumpulkan sumbangan kewangan orang ramai bagi membiayai kerja kebajikan tersebut.

“Salah satu aktiviti MKR ialah menyampaikan sumbangan Pek Barangan Dapur kepada fakir miskin disamping mengedarkan Pek Sungkai (berbuka puasa) kepada yang memerlukan,” tambah Sahar.

Pas Sandakan bersedia menghantar bantuan. Gambar SNT/Ihsan Pas Sandakan

“Sabtu lalu kami telah edarkan kira-kira 300 Pek Sungkai kepada saudara-saudara seislam kita dalam daerah ini, manakala hari ini pula 150 Pek Barangan Dapur diedarkan dan misi ini akan diteruskan sepanjang Ramadan,” jelasnya lagi.

Sahar turut mengalu-alukan derma daripada seluruh rakyat kerana program kebajikan seumpama ini memerlukan dana yang besar bagi membantu ramai pemohon yang menderita kesempitan makanan.

Antara penerima sumbangan Pas Sandakan. Gambar SNT/Ihsan Pas Sandakan

“Salurkan ke akaun Bank Islam Dewan Pemuda Pas Kawasan Sandakan, 10043010001846 jika ada yang berhajat untuk menyumbang,” ujarnya ketika ditanya nombor akaun bank untuk sumbangan tersebut.-SabahNewsToday