Pilih Bahasa

Pasar Awam Sejahtera akan dibina untuk masyarakat Semporna

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Pasar awam sejahtera akan dibina di lokasi baharu di daerah ini sebagai salah satu kemudahan penjual dan penduduk setempat mendapatkan bahan makanan basah harian.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Jaujan Sambakong berkata pasar berkenaan sangat diperlukan pembinaannya kerana penjual menjual hasil laut dan sayur-sayuran mereka di tepi jalan dalam keadaan berselerak.

Datuk Dr. Jaujan Sambakong menyaksikan pemberian mok cek Bantuan Bencana Alam Kebajikan Nelayan LKIM. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Saya terkejut melihat keadaan tempat peniaga menjual hasil laut mereka di tepi jalan dan ianya amat menjijikkan pada pandangan mata dan landskap Pekan Semporna yang begitu terkenal dengan sektor pelancongannya,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan Semporna, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, pembinaan pasar berkenaan akan membolehkan nelayan serta petani memasarkan hasil laut dan pertanian mereka secara terus kepada penduduk setempat tanpa melalui orang tengah yang sering mengaut keuntungan banyak.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Jaujan Sambakong menyampaikan anugerah kepada anak-anak nelayan yang cemerlang dalam pelajaran. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Dulu memang ada pasar ikan tapi pentadbiran yang dulu kata akan naiktaraf menjadi pasar awam sejahtera tapi saya dimaklumkan oleh KPKT peruntukan untuk pasar sejahtera sudah ditarik balik.

“Saya sudah minta dengan kerajaan pusat supaya kembalikan bajet itu dan kita akan buat pasar sejahtera yang sebenar di tempat yang baharu dan tidak jauh dari Pekan Semporna,”katanya.

Jelasnya, pembinaan pasar berkenaan akan diusahakan secara serentak dengan Kompleks Perikanan Semporna yang kini turut dalam perancangan untuk direalisasikan dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri sedang dalam proses berbincang dengan agensi-agensi yang berkaitan dan kita minta juga peranan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di peringkat pusat supaya melihat keperluan ini untuk tapak dan kawasan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah sudah tersedia lokasi dan sekarang kita dalam proses merangka konsep. Sudah tentu dengan wujudnya tempat ini akan menjadi satu lagi tarikan pelancong serta memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai makanan laut yang belum diproses atau sudah diproses,”katanya.

Dalam pada itu Jaujan yang juga wakil rakyat Sulabayan berkata, nelayan perlu melakukan perubahan dan tidak boleh hanya bergantung kepada insentif dari kerajaan semata-mata.

“Kalau nelayan tak boleh ubah diri sndiri, kerajaan pun tak boleh ubah, jadi jangan tangkap ikan sahaja tapi buat industri hiliran lain, buat program ternak ikan dalam sangkar untuk tambah pendapatan.

“Jika sangkar ikan sudah ada, keselamatan nelayan juga terjamin kerana kita tidak perlu bimbang keadaan ketika berada di laut disamping dapat mengurangkan kos subsidi minyak diesel. Duit subsidi itu kita akan beri sebagai peruntukan membina sangkar ikan,” katanya. – SabahNewsToday