Pilih Bahasa

PASAR BESAR KOTA KINABALU BAKAL DIUBAHSUAI, TINGKAT PENDAPATAN PENIAGA

Oleh Alfred Petrus

Chan (dua kanan) mengedarkan kalender kepada peniaga di Pasar Besar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Pasar Besar Kota Kinabalu akan berwajah baru tahun ini kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin.

Katanya usaha berkenaan adalah bagi meningkatkan lagi pendapatan peniaga-peniaga di pasar berkenaan dengan memberikan sedikit penambahbaikan untuk menari lebih ramai pelancong mengunjunginya.

“Tahun lalu, kami sudah berbincang dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkenaan penambahbaikan Pasar Besar Kota Kinabalu.

“Ia melibatkan pemasangan kipas serta papan tanda yang lebih menarik pengunjung untuk datang ke sini.

“Tujuannya sekaligus dapat meningkatkan status ekonomi peniaga-peniaga di Pasar Besar ini,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan kalender 2019 dan limau Mandarin kepada peniaga dan pengunjung Pasar Besar Kota Kinabalu sempena Tahun Baru Cina yang menjelang tiba awal Februari.

Chan berhasrat untuk menjadikan Pasar Besar Kota Kinabalu seperti Queen Victoria Market di Melbourne.

Katanya pelancong-pelancong yang datang ke tempat berkenaan bukan sahaja mengunjungi tempat-tempat bersejarah seumpamanya, tetapi datang ke pasar tersebut untuk makan dan membeli barangan lain.

“Begitu juga dengan Pasar Besar Kota Kinabalu yang kita lihat, kebanyakan pelancong membeli makanan laut segar dan membawanya ke sini untuk di masak oleh peniaga gerai makanan mengikut cita rasa pelancong.

“Namun, persekitaran di sini memerlukan sedikit pengubahsuaian dan pemasangan kipas untuk memberikan keselesaan pengunjung.

“Begitu juga dengan papan tanda yang perlu kita lakukan sesuatu agar pada waktu malam seumpamanya, ia mampu dilihat dengan jelas dan menarik untuk orang ramai datang,” jelasnya.

Tambahnya Pasar Besar Kota Kinabalu adalah jantung kepada bandaraya tersebut kerana di situlah tempat segala barangan keperluan harian seperti makanan dijual untuk masyarakat.

Selain itu, jelasnya pasar berkenaan juga mempunyai kedudukan yang strategik iaitu di tepi laut dan mampu menarik lebih ramai pengunjung menikmati pemandangan matahari terbenam.

Sementara itu, pada program mengedarkan kalender 2019 dan limau Mandarin di pasar tersebut, Chan juga akan melakukannya sehingga ke kawasan Likas, Api-api serta Luyang.

Jelasnya organisasi media juga turut tidak dilupakan sebelum mereka bercuti sempena Tahun Baru Cina akan datang. -SabahNewsToday