Pilih Bahasa

Pasar raya di negeri ini digalak utamakan penjualan produk tempatan

Oleh Alfred Petrus

Mohd Shafie (lima kiri) menyempurnakan gimik perasmian [email protected] Zon Sabah 2019. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Pasar Raya seluruh negeri digalakkan menjual produk-produk tempatan berkualiti dan mempunyai potensi untuk dipasarkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia adalah usaha membantu usahawan tempatan terutama dari luar bandar untuk meningkatkan sosio ekonomi selain menjadi lebih berdaya saing dalam perniagaan.

“Kita galakkan supaya pasar-pasar raya menjual produk tempatan yang mempunyai mutu dan berkualiti di premis masing-masing.

“Saya masih ingat dahulu ketika memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri yang mana saya galakkan Tesco dan Giant memberi ruang kepada produk tempatan di premis mereka.

“Saya juga galakkan agar mereka bukan hanya memasarkan produk berkenaan di premis tempatan tetapi juga dalam cawangan-cawangan mereka di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD)@KPLB Zon Sabah 2019, di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kementeriannya sedang berbincang dengan dengan syarikat penerbangan Malaysia Airport Berhad untuk menempatkan produk-produk usahawan desa di lapangan terbang.

Menurut beliau enam lapangan terbang antarabangsa seluruh negara itu turut melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

“Ini merupakan salah satu cara untuk mempromosikan produk usahawan luar bandar dari desa ke peringkat global.

“Ia juga satu langkah bagaimana kita mempromosi tahun melawat Malaysia 2020,” jelasnya. – SabahNewsToday