Pilih Bahasa

PASAR TERBUKA CNY DONGGONGON PADA 2-4 FEB INI: JENIFER


Pembantu Menteri Pelajaran Dan Inovasi Sabah yang juga Adun Moyog Jenifer Lasimbang ketika mengagih agihkan kad Tahun Baru Cina kepada para peniaga di pekan Donggongon bersama dengan Kapitan Cina David Ng hari ini. Gambar SNT/Ehsan Pejabat Adun Moyog

KOTA KINABALU: Buat julung kalinya Donggongon Chinese New Year Open Market atau Pasar Terbuka Tahun Baru Cina Donggongon akan diadakan tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog Jenifer Lasimbang berkata acara itu diadakan  sebagai persediaan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina yang akan diraikan bermula pada 5 Februari depan.

“Donggongon Open Market ini akan diadakan selama tiga hari berturut-turut iaitu bermula pada 2 Februari jam 6 pagi dan berakhir pada 4 Februari pada jam 4 petang.

“Acara perasmian Donggongon Chinese New Year Open Market akan diadakan pada 3 Februari bermula pada pukul 5 petang dan orang ramai dijemput hadir ke hari perasmian ini,” katanya.

“Ia diadakan untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan meningkatkan pendapatan melalui jualan kepada pengunjung-pengunjung Donggongon CNY Open Market,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Jenifer (empat dari kiri) menyampaikan kad ucapan Selamat Tahun Baru Cina kepada pekedai di Donggongon hari ini. Gambar SNT/Ehsan Pejabat Adun Moyog

Beliau berkata pasar terbuka itu juga akan dijadikan platform untuk peniaga memperkenalkan dan mempromosikan produk-produk tempatan seperti makanan, kraftangan, kebudayaan serta adat resam unik yang terdapat di daerah Penampang.

Katanya usaha itu juga mampu menjadikan barangan jualan sebagai satu produk pelancongan.

Beliau berharap dengan penganjuran pasar terbuka itu, ia boleh memberikan peluang kepada golongan petani mempamer dan menjual produk mereka.

“Di samping itu, pasar terbuka yang diadakan ini juga diharapkan menjadi wadah perpaduan dan semangat kekitaan kepada penduduk di daerah Penampang yang terdiri daripada pelbagai etnik serta kaum.

“Penganjuran Donggongon CNY Open Market ini adalah dengan usahasama diantara Pejabat Adun Moyog, Pejabat Adun Kepayan, Persatuan Peniaga Tamu Donggongon Penampang Sabah dan juga Majlis Daerah Penampang,” katanya.

Jenifer yang juga Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi berharap melalui penyertaan golongan petani dalam acara itu, agensi atau badan jabatan berkaitan dapat tampil ke hadapan untuk membimbing golongan petani.

“Dengan pendekatan ini, secara tidak langsung program sedemikian memberi manfaat kepada rakyat dan juga menunjukkan kesungguhan peranan kerajaan sebagai pemangkin kepada peningkatan pendapatan dari pelbagai golongan petani, peniaga serta pengusaha.

“Sepanjang penganjuran itu, terdapat beberapa aktiviti yang telah disusun untuk memeriahkan lagi program ini.

“Antaranya pertandingan mewarna kategori kanak-kanak, persembahan, nyanyian, tarian singa dan banyak lagi.

JALANRAYA DEPAN TAMU DONGGONGON DAN MEGALONG DITUTUP SEMASA OPEN MARKET

Sehubungan itu, Jenifer turut memberitahu bahawa jalan raya berhadapan dengan Tamu Donggongon dan Bangunan Megalong akan ditutup sepanjang acara tersebut.

Beliau memohon agar orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa lalu lintas sepanjang penganjuran pasar terbuka tersebut.

Katanya, pihak penganjur mendapat sokongan daripada Jabatan Kerja Raya, Unit Polis Trafik dan juga unit Polis untuk memastikan Donggongon Chinese New Year Open Market 2019 ini berjalan dengan lancar.-SabahNewsToday