Pilih Bahasa

Pastikan data profil kampung dikemaskini- Sarifuddin Hata

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pihak bahagian kepimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu memastikan pangkalan data profil setiap kampung di Sabah dikemaskini daripada semasa ke semasa bagi melancarkan rancangan pembangunan dilakukan dengan tersusun.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Sarifuddin Hata berkata tadbir urus desa, perancangan aktiviti, pengurusan mesyuarat, akaun dan kewangan, bahkan permohonan geran juga perlu dimantapkan.

Peserta Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Siri 2/2019 mengabadikan kenangan bergambar bersama Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Sarifuddin Hata. Gambar SNT / Ihsan Media ADUN Balung

“MPKK setiap kampung perlu memainkan peranan memastikan data kampung lengkap dan mengambil tanggungjawab mengenalpasti keperluan prasarana kampung masing-masing.

“Jika data kampung yang dikemaskini diperoleh, maka sudah pasti penyaluran maklumat serta perancangan pembangunan dapat dibuat dengan terancang oleh kerajaan,” katanya.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Sarifuddin Hata menyampaikan sijil kepada peserta Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) 2/2019. Gambar SNT / Ihsan Media Adun Balung

Beliau berkata demikian pada majlis Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Siri 2/2019 Negeri Sabah Zon Pantai Timur (Tawau, Kunak, Semporna) di salah sebuah hotel di sini, hari ini.

Program dua hari itu disertai 484 individu terdiri daripada Pengerusi dan Setiausaha MPKK dari daerah Tawau, Kunak, dan Semporna.

Kursus berkenaan mengetengahkan pelbagai isu termasuk permohonan kenaikan elaun.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Sarifuddin Hata (kiri) menerima cendera kenangan yang disampaikan oleh wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Siri 2/2019. Gambar SNT / Ihsan Media Adun Balung

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai berkata pemerkasaan institusi MPKK melalui pelbagai usaha termasuk penganjuran kursus induksi dilakukan kerajaan kerana MPKK bertindak sebagai penghubung antara rakyat di luar bandar dengan pihak kerajaan.

“Tanpa MPKK, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak akan berupaya mengetahui keperluan rakyat yang masih belum diliputi, jadi tiada alasan tidak ada data kerana sudah hadir kursus seperti ini” jelasnya.

Jelasnya MPKK perlu sentiasa menjalin hubungan baik dengan masyarakat sekaligus memberi perkhidmatan yang jujur dan profesional serta perlu bekerjasama dengan pentadbiran di peringkat daerah mahupun negeri.

“Komitmen tinggi MPKK dan masyarakat dalam aktiviti-aktiviti sosioekonomi dilihat antara prasyarat mencapai kehidupan luar bandar yang lebih sejahtera dan harmoni,” tambahnya.

Sarifuddin yang juga dalam pada itu berkata Sabah menerima sebanyak RM1.13 bilion pada tahun ini berbanding RM811 juta pada tahun 2018 peruntukan pembangunan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Ianya pertambahan sebanyak 40 peratus dari tahun sebelumnya yang memungkinkan lebih ramai merasai bantuan kemudahan asas yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.-SabahNewsToday