Pilih Bahasa

PASTIKAN KEBERSIHAN KAWASAN TAMU, ELAK PENULARAN WABAK DENGGI

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Beberapa penjaja sedang giat membersihkan kawasan tamu pekan Nabawan di sini. Gambar SNT

NABAWAN: Penjaja di tamu pekan Nabawan diingatkan agar sentiasa memastikan kebersihan di premis mereka sebagai langkah pencegahan penularan wabak denggi di kawasan itu.

Ketua Unit Penguatkuasa Majlis Daerah, Iman Hamizan Kapit Abdullah berkata, penularan wabak denggi dan masalah tikus di pekan itu perlu dielakkan kerana ia boleh menjejaskan kesihatan penjaja dan penduduk di pekan itu, amnya.

Sehubungan itu, katanya, para penjaja disaran melakukan program gotong-royong secara kerap bagi memastikan kawasan persekitaran di tempat mereka berniaga kekal bersih setiap masa.

“Kesedaran tentang pentingnya aspek kebersihan dalam kalangan penjaja sangat penting. Langkah pencegahan itu adalah lebih baik.

Para penjaja tempatan yang menyertai program gotong-royong membersihkan tapak tamu pekan Nabawan. Gambar SNT

“Justeru, kita amat menggalakkan penglibatan penjaja di tamu pekan ini dalam penganjuran program gotong-royong membersihkan kawasan premis mereka,” katanya.

Seramai 150 penjaja tamu pekan Nabawan termasuk kakitangan majlis daerah itu mengikuti program gotong-royong membersih tapak tamu di sini semalam.

Iman menambah, selain itu aktiviti gotong-royong itu juga dapat mengeratkan hubungan silahtirahim antara kakitangan MDN dan penjaja tamu di situ

“Program gotong-royong ini diadakan berterusan agar ia menjadi contoh kepada penjaja dari luar yang menjaja di tamu pekan ini,” ujarnya.

Iman berkata, ekoran daripada program  itu, satu taklimat pembahagian lot tapak akan diadakan bersama penjaja yang diselaraskan oleh Penguatkuasa MDN pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti.

Menurut Iman lagi,  keutamaan akan diberikan kepada penjaja tempatan pada pembahagian lot tapak tamu itu.-SabahNewsToday