Pilih Bahasa

Pastikan kontraktor dilantik laksana tugas jaga sistem perparitan di Tawau.

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyeru pihak berkuasa memastikan kontraktor yang sudah dilantik untuk menjalankan tanggungjawab menjaga sistem saliran dan perparitan di daerah ini.

Ia berikutan terdapat beberapa jalan raya dinaiki air ekoran sistem perparitan tersumbat ketika berlakunya musim hujan atau air pasang.

Sebahagian jalan raya di Jalan Dunlop Tawau ditenggelami air akibat sistem saliran dan perparitan tersumbat. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Saya berharap pihak berkuasa khususnya Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jabatan kerajaan lain untuk bertanggungjawab memastikan longkang dibersihkan.

“Pastikan juga kontraktor yang sudah dilantik supaya melaksanakan kerja mereka mengikut perjanjian yang sudah mereka tandatangani dengan pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Kunjungan Hormat Wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tawau, di sini hari ini.

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (duduk, empat dari kiri) bergambar kenangan bersama wakil-wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Kunjungan itu diwakili oleh Timbalan ketua PKR Cabang Tawau, Abdul Gani Zelika.

Dalam pada itu, beliau berkata perlantikan Presiden MPT yang baharu, Datuk Ir Amrullah Kamal mampu menyelesaikan masalah masyarakat di daerah ini.

“Saya difahamkan Presiden MPT yang baharu adalah seorang jurutera yang berpengalaman. Saya yakin dengan pengalaman yang beliau miliki mampu mengatasi masalah yang dihadapi masyarakat di daerah ini,” katanya lagi.

Menyentuh berkenaan kunjungan hormat wakil PKR, beliau yakin ia adalah salah satu inisiatif dalam mempererat kerjasama dibawah pimpinan Pakatan Harapan Bahagian Tawau.

“Saya menyifatkan kunjungan ini cukup bermakna khususnya kepada kekuatan kerajaan Pakatan Harapan.

“Melalui kunjungan ini, kita dapat mengadakan aktiviti-aktiviti bersama untuk kepentingan rakyat dan negeri khususnya di Parlimen Tawau ini,” katanya.-SabahNewsToday