Pilih Bahasa

Pastikan pelajar dapat kemahiran masa kini

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan berhasrat mencari jalan terbaik untuk memastikan sebahagian pelajar yang tidak dapat melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) mendapat kemahiran yang diperlukan masa kini.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Jennifer Lasimbang berkata didapati hanya 40 peratus sahaja pelajar melanjutkan pelajaran lebih tinggi selepas tamat sekolah.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Jennifer Lasimbang ketika hadir di Karnival Bersama Rakyat 3.0 di Dewan Bandaran Kota Kinabalu (DBKK). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik yang mana banyak agensi-agensi berkaitan dengan kerjaya datang bersama-sama untuk memberikan ruangan kepada pelajar khususnya yang akan menamatkan zaman persekolahan tidak lama lagi.

“Kementerian Pelajaran dan Inovasi (K-Pi) sangat bimbang berkenaan hanya 40 peratus daripada pelajar kita meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

“Memang kita tahu kekangan kewangan antara yang dihadapi pelajar ini, tetapi dari segi minat mereka masih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Karnival Bersama Rakyat 3.0 di Dewan Bandaran Kota Kinabalu (DBKK), hari ini.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Jennifer Lasimbang menerima cenderahati daripada Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin selepas hadir di Karnival Bersama Rakyat 3.0 di Dewan Bandaran Kota Kinabalu (DBKK). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Katanya usaha itu juga sebagai inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam negeri.

“Di Sabah adalah antara yang tertinggi kadar penganggurannya di seluruh negara.

“Oleh itu, kita kena cari jalan untuk memastikan pelajar-pelajar ini mempunyai kemahiran.

“Bukan semua yang dapat berkecimpung dalam dunia akademik dan kita mesti memberikan mereka platform khususnya ibu bapa untuk memberikan galakan kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menceburi bidang kemahiran,” katanya.

Sementara itu, pada karnival berkenaan, kira-kira 16 buah institut latihan kemahuran yang menyertainya. -SabahNewsToday