Pilih Bahasa

Pasukan Bicara Berirama SK Sri Gaya siap sedia; terima tajaan dari pelbagai pihak.

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU : Pasukan Swagaya Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya kini telah siap sedia untuk membawa nama sekolah dan negeri ini dalam pertandingan bicara berirama peringkat kebangsaan di Pahang, Rabu depan.

Guru Besar SK Sri Gaya Alhazmi Abdullah berkata persediaan pasukan ini sudah mencapai tahap seratus peratus dan kini dalam persediaan selepas menerima tajaan bagi membawa seramai 31 orang murid.

Pasukan Bicara Berirama SK Sri Gaya bergambar bersama YDP PIBG sekolah Tuan Haji Arif Tun Sakaran serta jurulatih dan para ibu bapa selepas majlis penyerahan tajaan dan amanat. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pasukan sekolah kini sudah sedia untuk berentap di peringkat akhir. Kita akan mencuba sebaik mungkin bagi membawa nama SK Sri Gaya dikenali ramai di peringkat kebangsaan.

“Dan pada hari ini, kita mengadakan majlis penyerahan tajaan yang diterima daripada syarikat Cernegi South East Asia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIGB) SK Sri Gaya dan sumbangan peribadi daripada ibu bapa murid,” katanya ketika ditemui SabahNewsToday pada Majlis Penyerahan Tajaan dan Amanat di Dewan Sekolah, SK Sri Gaya, hari ini.

Menurut Alhazmi, pihak sekolah pada mulanya sudah berasa risau akan tanggungan kos yang akan dibelanjakan oleh pasukan ini.

Konduktur pasukan Bibi Aysha Muhammad Zain menerima sumbangan pada majlis penyerahan tajaan dan penyampaian amanat di SK Sri Gaya. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Alhamdulillah, bantuan dan sumbangan kita terima daripada pelbagai pihak terutamanya dari ibu bapa yang membantu serba sedikit dalam perbelanjaan kos pasukan kita,”

“Selain itu, bantuan peruntukan daripada Kerajaan Negeri Sabah juga turut diterima bagi menyuntik moral dan sokongan pasukan ini yang akan membawa nama Negeri Dibawah Bayu di Kuantan, Pahang,” katanya.

Pada majlis berkenaan, kasut dan pakaian serta topi yang seragam diserahkan kepada murid yang mewakili sekolah pada pertandingan akhir selain menerima beg galas.

YDP PIBG SK Sri Gaya Tuan Haji Arif Tun Sakaran menyerahkan sumbangan kepada salah seorang murid dari pasukan swagaya Mohamad Zafri Harry Syahputra pada majlis penyerahan tajaan dan penyampaian amanat di SK Sri Gaya. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pasukan bicara berirama ini dikendali oleh Noor Syaakira Isahak dan Dyah Shintawati sebagai jurulatih manakala pengurus pasukan swagaya SK Sri Gaya, Siti Norhazlin Rustin dan Rosalia Robert. -SabahNewsToday