Pilih Bahasa

Pasukan Strike Team siap siaga dalam tugas menyelamat

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU : Pasukan unit Strike Team Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang situasi khususnya bagi pertempuran jarak dekat.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata pasukan berkenaan satu-satunya unit yang akan menjalankan tugasan rumit dan memerlukan kemahiran khasnya bertempur di kawasan bandar.

Anggota Strike Team menjalankan latihan taktikal. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Pasukan ini juga sentiasa bersiap siaga untuk respon berkaitan kes dan kejadian supaya dapat ditangani dengan lebih pantas dalam satu-satu masa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan latihan dalam perkhidmatan Strike Team IPD Tawau di Teck Guan Coco Garden, Quonin Hill, hari ini.

Peter berkata objektif program ini adalah sebagai langkah mengekalkan kecergasan fizikal dan mental anggota unit berkenaan supaya mereka lebih bersedia dalam apa jua kemungkinan.

Anggota Strike Team menjalankan latihan taktikal dengan misi menyelamatkan mangsa tebusan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Latihan lasak seperti ini harus dilaksanakan selalu supaya tahap kecergasan anggota sentiasa dalam keadaan yang baik dan mampu melaksanakan tugasan bila-bila masa sahaja jika diperlukan,” jelasnya.

Mengulas berkenaan program berkenaan Peter berkata anggota Strike Team ditugaskan untuk menyelamatkan seorang tebusan yang diculik oleh penjenayah yang menggunakan senjata api.

Peter (berdiri, empat dari kiri) bersama anggota Strike Team. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Pasukan Strike Team menghadapi kesukaran dan cabaran apabila perlu melalui laluan yang sukar serta taktikal seperti menggunakan ‘flying fox’ sebelum menyerang dan merapat penjenayah bagi menyelamatkan tebusan.

Selain latihan taktikal pasukan Strike Team turut menjalankan latihan mara lasak atau ‘jungle tracking’ dimana setiap anggota perlu melalui jalan raya dan hutan sejauh lapan kilometer dan latihan berenang di sungai. – SabahNewsToday