Pilih Bahasa

Patrol Denggi: SK Sri Gaya wakili Sabah ke peringkat kebangsaan

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya akan mewakili Sabah ke Pertandingan Patrol Denggi Peringkat Kebangsaan 2019 di Kuala Lumpur, Oktober ini.

Guru Besar SK Sri Gaya Alhazmi Abddullah berkata program kerjasama syarikat Sanofi Pasteur, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini merupakan satu kempen mega bagi meningkatkan kesedaran murid sekolah mengenai demam denggi.

Guru Besar SK Sri Gaya Alhazmi Abddullah menerima replika cek daripada Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Suratmin Wagiman pada majlis itu di SK Sri Gaya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan SK Sri Gaya

“Dengan program ini kita secara tidak langsung dapat menjayakan kempen kesedaran ini melalui platform digital seperti video ‘Misi Gempur Denggi’ yang dipertandingkan.

“Penghasilan video ini melibatkan 18 orang murid selain dibantu oleh warga pendidik SK Sri Gaya dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

“Alhamdulillah, kita telah dipilih dan menerima pengikhtirafan kategori Gold Sekolah Rendah setelah video yang dimuatnaik ke laman sesawang Youtube pada Mei lalu dinilai oleh juri dan konsultan,” katanya ketika dihubungi SabahNewsToday hari ini.

Majlis Penyerahan Replika Cek Anugerah Gold pertandingan peringkat negeri ini telah disampaikan oleh Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Suratmin Wagiman.

Guru Besar SK Sri Gaya Alhazmi Abddullah dan Pegawai Jabatan Pendidikan Sabah, Suratmin Wagiman bersama guru serta 18 orang murid yang menjayakan video kemenangan sekolah tersebut. Gambar SNT/Ihsan SK Sri Gaya

Menurut Alhazmi, cek bernilai RM 1,000 itu akan digunakan untuk tujuan penambahbaikan kepada video yang akan dipertandingkan di peringkat kebangsaan nanti.

“Ini juga satu pembakar semangat kepada murid-murid untuk terus memberikan kerjasama yang tinggi dengan harapan untuk mendapatkan kemenangan itu nanti,” tambahnya.

Dalam pada itu, Alhazmi turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Dipertua PIBG SK Sri Gaya Muhammad Arif Tun Sakaran kerana sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada semua yang terlibat.

“Pasukan patrol denggi kita telah membuat promosi dan kesedaran di beberapa tempat seperti Taman Negara Kinabalu, Perdana Park dan di beberapa pusat beli belah agar matlamat kita dan mesej untuk meningkatkan kesedaran ini diterima orang awam,” jelasnya.

Harapan guru besar sekolah itu juga mengharapkan kejayaan pasukan ini mendapat kejayaan di peringkat kebangsaan.

“Semestinya kita rasa bersyukur dan bangga dengan kejayaan di peringkat negeri dan ini merupakan penyertaan kali pertama yang kita sertai.

“Kita juga mengharapkan kemenangan diperingkat kebangsaan. Meskipun saingan itu sengit, kita akan pastikan yang terbaik untuk sekolah ini,” katanya. -SabahNewsToday


https://www.youtube.com/watch?v=M2KaKVGL_L8&feature=youtu.be