Pilih Bahasa

PAWAGAM TERUSKAN OPERASI TAYANGAN MESKIPUN TERIMA NOTIS PENUTUPAN

Oleh Mohd Adam Arinin

Operasi pembersihan dewan tayangan sedang giat dijalankan oleh pihak pawagam terbabit. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Penjualan tiket dan tayangan di salah sebuah pawagam di Kota Kinabalu beroperasi seperti biasa meskipun telah menerima notis arahan penutupan oleh Jabatan Kesihatan Negeri, semalam.

Tinjauan SabahNewsToday hari ini mendapati beberapa dewan tayangan di pawagam tersebut ditutup bagi kerja-kerja ‘pembersihan mega’ yang sedang giat dilaksanakan ekoran isu kejadian tikus dalam pawagam yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Seorang kakitangan yang enggan dikenali memaklumkan, operasi pembersihan itu melibatkan kesemua dewan tayangan telah dilakukan sejak semalam.

“Kami hanya membuka beberapa dewan tayangan untuk digunakan. Proses pembersihan tetap dijalankan secara total di dewan yang tidak digunakan namun ia secara berperingkat.

Notis Perintah Tutup Premis yang dikeluarkan ditampal dipintu masuk dewan tayangan di pawagam tersebut. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Setakat pukul 4 petang ini, kami hanya membuka lima dewan tayangan, manakala selebihnya masih dalam proses pembersihan dan dewan yang telah bersih akan digunakan selepas keadaan dan tahap kebersihan memuaskan,” katanya ketika ditemui.

Difahamkan Unit Kesihatan Pekerjaan Alam Sekitar (KPAS) Kota Kinabalu dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya DBKK telah membuat pemeriksaan di pawagam terbabit, kelmarin. 

Hasil pemeriksaan, tujuh daripada lapan dewan tayangan milik pawagam itu didapati menjadi tempat urungan tikus. 

Berdasarkan notis yang dikeluarkan itu, arahan penutupan premis tersebut berkuatkuasa dalam tempoh 14 hari bagi tujuan menjalankan kerja pembersihan dan pembasmian haiwan perosak itu dengan sempurna.

Arahan penutupan pawagam ini juga dibuat di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – SabahNewsToday