Pilih Bahasa

PBS hormati keputusan pengundi

Oleh Chris Maskilone

SANDAKAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengucapkan tahniah kepada calon DAP Vivian Wong Shir Yee kerana berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan dalam Pilihanraya Kecil hari ini.

“Para pengundi telah membuat keputusan dan kita menghormati keputusan tersebut. Kita berharap DAP akan menghormati segala janji mereka kepada orang ramai,” kata Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Dr Maximus (tengah). – Gambar Fail SNT / Sitti Nor Azizah Talata

Daripada awal, PBS menanggap dirinya sebagai “underdog” berdasarkan keputusan PRU14 bagi kawasan Sandakan.

Menurutnya PBS telah membawa beberapa isu penting untuk dinilai oleh pengundi Sandakan.

Namun demikian, Dr Maximus berkata melalui PRK ini, PBS menunjukkan bahawa ia adalah parti utama yang harus diberi perhatian.

PBS, katanya akan meneruskan perjuangan politik dan menyumbang kepada pembangunan nasional melalui proses demokrasi.

“Kita akan terus berjuang demi keadilan serta mempertahankan perlembagaan dan juga hak-hak rakyat Sabah dan Malaysia,” katanya.

“Kita ucapkan terimakasih kepada rakyat Sandakan yang telah mengundi calon PBS Datuk  Linda Tsen Thau Lin serta kepada rakan-rakan yang membantu dalam PRK Sandakan,” katanya.

“PBS telah memberi saingan terbaik namun akhirnya kita tidak dapat melawan kekuatan pasukan lawan. Tuhan memberkati Sandakan, Sabah dan Malaysia,” katanya.-SabahNewsToday