Pilih Bahasa

PBS kecewa dengan tindakan Rahman tetapi tidak tergugat

PENAMPANG: Budaya ‘memancing’ Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berterusan jelas menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) takut kepada parti pembangkang. 

Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menggambarkan tindakan tersebut sebagai budaya politik kotor yang tidak bertanggungjawab kerana kerajaan melihat PBS sebagai ancaman kepada mereka.

Dr Maximus (dua kanan) bersama Ahli Majlis Tertinggi PBS dalam sidang akhbar tersebut di Donggongon petang tadi. Gambar SNT/Ihsan PBS

“Jika tidak, mengapa mereka terus menarik Adun kita untuk menyertai mereka walaupun mereka kini mempunyai majoriti dua pertiga.

“Amat mengecewakan kerajaan pimpinan Warisan dibentuk melalui proses lompat parti, namun masih lagi berusaha menarik ahli parti ini untuk menyertai mereka.

“Ini hanya menunjukkan mereka lemah dan tertekan dengan ancaman dalaman dan pembangkang. Kedudukan PBS kukuh dan mereka (Warisan) mahu melemahkan kami,” kata Dr Maximus dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti di Donggongon, di sini, hari ini.

Adun Labuk, Abdul Rahman Kongkawan menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PBS dan Ketua Bahagian Labuk pada pagi hari ini untuk menyertai Warisan, seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum tengah hari tadi.

“Kami kecewa tetapi tidak tergugat dengan tindakan beliau. Hal ini sebaliknya akan terus mengukuhkan parti ini, kerana kami terus berpegang pada prinsip untuk mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan pengundi, meneruskan usaha mendidik pemimpin muda mengenai kepentingan prinsip politik dan integriti selaras dengan visi dan misi kami yang serius untuk berkhidmat kepada rakyat dan memenuhi keperluan mereka,” kata Dr Maximus.

Dr Maximus (tengah) bersama dengan wakil rakyat PBS yang tinggal iaitu dari kiri Julita Majungki (Matunggong), Datuk Jahid Jahim (Tamparuli), Datuk Dr Joachim Gunsalam (Kundasang) dan Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu). Gambar SNT/Ihsan PBS

Menurut beliau Rahman telah melalui latihan intensif parti, iaitu gerakan PBS Pemuda.

“PBS memilih beliau untuk menjadi calon pada pilihan raya umum lalu berdasarkan rekod sumbangan beliau, dan beliau telah memenangi PRU lalu di bawah logo PBS dan Barisan Nasional.

“Labuk sememangnya kubu kuat PBS. Kerusi itu telah dimenangi secara berturut-turut oleh PBS sejak pembentukan parti pada 1985 dan mengalahkan semua parti pembangkang,” jelasnya.

Dr Maximus menambah bahawa PBS mempunyai harapan yang tinggi kepada Rahman untuk meneruskan rekod jejak arwah ayahnya, Datuk Haji Kongkawan Panglima Kulang, yang juga merupakan antara pengasas PBS di Labuk.

“Mendiang ayahnya telah berkhidmat kepada rakyat dengan sepenuh hati hingga ke akhir hayat beliau. Sedihnya, Rahman telah gagal dalam ujian terakhir.

“Jelas sekali beliau ‘termakan’ pujukan kerajaan memerintah dan para pemimpinnya untuk mendapat ganjaran politik dan kemungkinan dijanjikan  kehidupan yang lebih baik dalam kerajaan,” kata Dr Maximus.

Beliau menegaskan bahawa perbuatan lompat parti adalah pengkhianatan kepada kepercayaan dan sokongan pengundi, dan budaya politik sedemikian mesti dihentikan.

“Ia sangat berleluasa di Sabah, malah di seluruh Malaysia. Perjuangan sedemikian tidak boleh diterima dan harus dihentikan. Itulah sebabnya PBS terus menyokong pengenalan semula Undang-undang Anti Lompat Parti.

“Pandangan kami adalah mudah, jika ingin menukar parti dari parti yang  mereka memenangi kerusi, maka mereka harus bertindak secara bertanggungjawab.

“Budaya lompat parti adalah perbuatan yang tidak jujur ​​dan tidak sah, jadi mereka perlu terlebih dahulu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat, dan kembalikan keputusan kepada tangan pengundi.

“Kami mendesak beliau untuk melakukan tindakan yang betul dan mengamalkan sikap integriti, kembalikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan mereka dan menilai samada pengundi bersetuju dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab seperti budaya lompat parti.”

Bagi PBS, Dr Maximus berkata mereka akan terus mengukuhkan jentera, kepimpinan dan akar umbi.

“Kami mempunyai jentera kukuh di Labuk. Kami mempunyai barisan pemimpin yang  mampu menggantikan beliau sebagai ketua bahagian.

“PBS, melalui Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Datuk Seri Micheal Asang, seorang ahli politik veteran di Labuk, akan menyelia dan membina semula bahagian itu, dan melatih para pemimpin baru. PBS adalah parti berbilang kaum dengan rekod pentadbiran terbukti di Sabah.

 “Dengan keputusan Rahman untuk meninggalkan parti, PBS akan meneruskan perjuangannya, melatih pemimpin baru dan bersedia menghadapi pilihan raya akan datang,” kata Dr Maximus.-SabahNewsToday