Pilih Bahasa

PBS sah bertanding PRK Sandakan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengesahkan akan bertanding dalam pilihanraya kecil Sandakan pada Mei 11.

Keputusan dibuat selepas perkara itu dibincangkan oleh Biro Politik parti itu, kata Presiden, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Dr Maximus mempengerusikan mesyuarat Biro Politik PBS baru-baru ini. Gambar SNT/Ihsan PBS

Beliau berkata PBS sedang memeriksa senarai “yang agak panjang” untuk mencari calon boleh menang sebagai menyahut sokongan dan permintaan akar umbi di sana.

“Kita masih lagi memeriksa senarai dan berharap akan dapat membuat pengumuman sehari sebelum Hari Penamaan Calon.

“Kami mempunyai satu senarai calon yang agak panjang dan kami masih lagi menerima nama-nama dari ahli dan akar umbi di Sandakan,” katanya.

Antara mereka yang berada dalam senarai ialah pemimpin parti dan juga dari luar.

“Kita amat teruja untuk mengibarkan bendera PBS di PRK itu nanti. Kita mohon kepada pengundi di Sandakan untuk memberi sokongan kepada PBS sebagai wakil dan suara mereka di Parlimen.

“PBS juga bersedia untuk bekerjasama dengan parti pembangkang sehaluan pemikiran dengan PBS, samaada parti tempatan mahupun kebangsaan,” ujarnya.

Tahun 1999 merupakan kali terakhir PBS bertanding dalam pilihanraya menggunakan lambang dan benderanya sendiri.

PBS menyertai Barisan Nasional kembali pada tahun 2002 tetapi berikutan kekalahan teruk pada Pilihanraya Umum ke-14 2018, parti itu meninggalkan BN.

Tarikh Penamaan Calon PRK Sandakan ialah pada 27 April dan pengundian pada 11 Mei.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong apabila penyandangnya Datuk Stephen Wong meninggal dunia akibat sakit jantung pada 28 Mac.

Terdapat 39,777 pengundi berdaftar di Sandakan iaitu 49 peratus kaum Cina, 44 peratus Bumiputera Islam dan selebihnyan Bumiputera bukan Islam.-SabahNewsToday