Pilih Bahasa

PBS Sindumin masih utuh tanpa Jamilah

Oleh Chris Maskilone

SIPITANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak goyah dengan peletakan jawatan Timbalan Presidennya Datuk Jamilah Sulaiman bersama beberapa AJK bahagian PBS Sindumin.

“Keputusan Jamilah meninggalkan parti amat dikesali, namun kita mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau kepada parti selama 33 tahun,” kata Naib Presiden Datuk Johnny Mositun.

Mositun (tujuh dari kiri), Jahid (enam kiri), Dr Joachim (lima kiri), Joniston (tujuh kanan) dan ketua-ketua bahagian PBS semasa perjumpaan di Sipitang pada Selasa.-Gambar SNT/Ihsan PBS

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin cawangan dan ahli parti di bahagian Sindumin pada Selasa.

Berdasarkan perjumpaan itu, kesimpulannya ialah peletakan jawatan Jamilah tidak memberi kesan kepada PBS Sindumin, katanya.

“Kebanyakan ahli PBS di Sindumin masih kekal dengan parti manakala kesemua lapan bahagian PBS di Pantai Barat termasuk bahagian saya iaitu Pantai Manis mengistiharkan kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili,” katanya.

Mositun bagaimanapun enggan mengulas keputusan Jamilah.

“Jamilah sudahpun menyatakan kenapa dia mengambil keputusan ini. Oleh itu saya berpendapat tidak perlu lagi untuk mengulas perkara tersebut.

“Tujuan kami datang adalah untuk mendapatkan fakta dan apa yang kami dapati PBS Bahagian Sindumin masih utuh,” katanya.

Beliau menambah Majlis Tertinggi PBS akan melantik pemangku ketua bahagian serta AJK bagi menjalankan bahagian sehingga mesyuarat agung parti akan datang.

“Pemimpin datang dan pergi tetapi PBS lebih besar daripada mana-mana individu. Ia adalah sebuah parti yang tertua di Sabah. Kita telah melalui berbagai pengalaman tetapi berkat komitmen serta kepercayaan terhadap kepimpinan para pemimpin parti, perjuangan kita untuk rakyat berterusan,” ujarnya.

Mositun berkata pendirian konsisten PBS tentang hak-hak rakyat Sabah terdapat tanda positif akan kebangkitan parti itu terutama dari segi sokongan pada beberapa tahun kebelakangan ini.

“Beberapa ahli telah tinggalkan parti namun lebih ramai yang masuk. Beberapa pemimpin kanan parti lain turut menyertai PBS dalam tempoh satu tahun ini. Ia adalah petanda baik,” katanya.

Turut bersama dalam misi mendapat fakta tentang PBS Sindumin ialah Setiausaha Agung, Datuk Jahid Jahim, Naib-Naib Presiden Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Roslan Muharam yang juga ketua bahagian PBS Lumadan serta Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai.

Antara ketua bahagian lain yang turut serta ialah Benedict Bototol (Kawang), Jitim Abak (Bongawan), Hamim Gundim (Klias),  Datuk Peter Mak (Labuan) dan Sebastian Anjim (Kuala Penyu.-SabahNewsToday