Pilih Bahasa

PBS TERBUKA KERJASAMA DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

TAWAU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Presiden PBS Datuk Dr Maximus Ongkili mengucapkan ‘selamat berjaya’ kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah parti itu mengumumkan hasrat melebarkan sayapnya ke Sabah.

Dr Maximus dan pemimpin PBS bersama PBS Tawau merayakan Tahun Baharu Cina hari ini. Gambar SNT/Ehsan PBS

Beliau berkata walaupun pendirian PBS selama ini ialah mempromosikan parti tempatan namun tiada salah bagi parti lain untuk bertapak di negeri ini.

“Dalam negara demokrasi ini, sesiapapun boleh membuka parti atau cawangan yang dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Dalam kes Sabah, pendirian PBS selama ini ialah untuk parti tempatan tetapi demi perpaduan rakyat dan juga supaya kita dapat bergerak dalam sistem persekutuan, kita akan mempertimbangkan untuk bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dr Maximus bersama para pemimpin PBS lain melambung yee sang sempena makan tengahari Tahun Baharu Cina PBS Tawau hari ini. Gambar SNT/Ehsan PBS

Bagaimanapun, Dr Maximus berkata PBS tetap percaya parti berbilang kaum merupakan yang terbaik dimana semua kepentingan kaum dapat diambil kira.

Manakala sikap toleransi tinggi dan kesederhanaan boleh disemai sebagai asas perpaduan, katanya semasa makan tengahari Tahun Baharu Cina PBS Tawau di sini hari ini.

“Walaupun PBS dipaksa menjadi pembangkang disebabkan Upko melompat (ke pihak sebelah) namun kita sentiasa terbuka kepada kerjasama politik dengan parti yang mempunyai sama pemikiran, berkongsi ideals.

“Serta meletakkan perpaduan sebagai keutamaan serta berjuang bagi Sabah dalam persekutuan apa lagi melindungi hak-hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Dr Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, walau bagaimanapun berharap kemasukan Bersatu tidak akan mengakibatkan perpecahan rakyat malah menguatkan semangat kebersamaan dan melindungi hak-hak Sabah.

Katanya perjuangan PBS sudah dikenali terutamanya dalam hal melindungi hak-hak Sabah, keselamatan dan mendapatkan pembangunan yang lebih baik agar seimbang dengan kemajuan di Semenanjung.

“Hari ini para penyokong kita kekal kuat. Ahli-ahli kita tidak berganjak langsung dan pada hakikatnya semakin kuat dalam tempoh 10 bulan ini.

“Terpulanglah kepada rakyat Sabah samaada ingin menerima atau tidak kemasukan Bersatu. Kita cuma berharap mereka (Bersatu) tidak akan menyebabkan rakyat negeri ini tambah berpecah dan membawa bersama stail politik Malaya kemari,” katanya.-SabahNewsToday