Pilih Bahasa

PBSS nafi pembinaan Pusat Kebudayaan Bajau Sama projek `gajah putih’

KOTA KINABALU: Persatuan Bajau Sama Sabah (PBSS) menafikan pembinaan Pusat Kebudayaan Bajau Sama adalah projek gajah putih.

Setiausaha Agungnya, Mohd Kassim Razali berkata perunding projek tersebut melaporkan bahawa kemajuan pembinaannya pada masa ini adalah 93 peratus dan belum dapat disiapkan kerana beberapa masalah teknikal.

Mohd Kassim Razali. – Gambar SNT/Ihsan PBSS

“Kami berharap pihak berkuasa, perunding projek dan kontraktor yang berkenaan dapat menangani masalah teknikal mengenai penyiapan bangunan itu secepat mungkin, kerana persatuan sangat berharap dapat menggunakan bangunan tersebut.

“Mengenai dakwaan projek gajah putih, ia tidak berasas kerana projek itu masih belum siap sepenuhnya dan belum diserahkan secara rasmi oleh pihak kerajaan kepada persatuan. Justeru apa motif sebenar individu tertentu menonjolkan isu tersebut.

“Kami berharap isu kecil ini tidak akan dipolitikkan dan pihak persatuan senang hati dan bersedia untuk membantu pihak berkuasa, perunding dan kontraktor yang berkaitan untuk mempercepat penyiapan pembinaan bangunan ini”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Kassim berkata demikian sebagai mengulas artikel muka depan sebuah akhbar tempatan di negeri ini pada Rabu (27 Mei 2020) yang melabelkan projek pembinaan bangunan itu sebagai `gajah putih’.

Menurut Kassim banyak yang telah dirancang oleh persatuan untuk bangunan itu, termasuklah membina rumah tradisional nelayan Bajau Sama dan Petani Bajau Sama  untuk menonjolkan gaya hidup, kraftangan, tradisi dan warisan budaya mereka.

“Kami juga merancang menanam pokok dan herba yang digunakan secara tradisional oleh Bajau Sama untuk tujuan perubatan, selain mempunyai kawasan menunggang kuda Bajau Sama, dengan kuda berpakaian tradisi Bajau Sama agar rakyat mengenali kebudayaan kita”.

“Kami berharap pihak berkuasa, konsultan dan kontraktor berkenaan dapat menyelesaikan isu itu dan kami sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan yang termampu,” jelasnya. – SabahNewsToday