Pilih Bahasa

PBT digalakkan jalin kerjasama dengan sektor swasta, bantu tingkat ekonomi negeri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Tempatan  (PBT) di negeri ini diminta mengadakan kerjasama bersama pihak swasta dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri ke arah berpendapatan tinggi.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata PBT kini tidak boleh hanya mengambil pendekatan tunggu dan lihat sahaja malahan perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah syarikat swasta bagi mendekati peniaga dan pelabur.

Jaujan (enam dari kanan) bergambar dengan peserta forum sambil menunjukkan manual kelulusan lesen operasi PBT di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Jaujan berkata galakan (pendekatan) secara berterusan mesti dilaksanakan disebabkan bilangan rakyat yang kian bertambah selain pembangunan serta undang-undang juga perlu ditingkatkan.

“Dengan pendekatan berterusan seumpama ini, sudah pasti adanya kutipan hasil yang lebih baik memandangkan kita tidak boleh lari daripada pelanggan (pelabur dan peniaga).

“Oleh itu, kita perlu membuat pemdekatan disamping memantapkan susun atur cara pengurusan pentadbiran kita,” katanya.

Jaujan (lima dari kanan) menyampaikan garis panduan permohonan dan manual kelulusan lesen operasi PBT kepada wakil salah sebuah PBT sempena
Forum Amalan Baik Peraturan (GRP) dan Majlis Pelancaran Garis Panduan Permohonan dan Manual Kelulusan Lesen Operasi PBT Sabah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Forum Amalan Baik Peraturan (GRP) dan Majlis Pelancaran Garis Panduan Permohonan dan Manual Kelulusan Lesen Operasi PBT Sabah, di sini, hari ini.

Ianya disertai lebih 140 peserta terdiri daripada semua 25 PBT Sabah, jabatan atau agensi kerajaan negeri serta persekutuan, komuniti perniagaan dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Jaujan berkata penganjuran forum seumpama itu mampu meningkatkan sistem pengurusan pentadbiran negeri terutama dalam pengurusan bagi permohonan lesen agar sistem sedia ada menjadi lebih baik dan efisien.

Jaujan (empat dari kanan) menekan skrin ipad sebagai simbol perasmian pada Forum Amalan Baik Peraturan (GRP) dan Majlis Pelancaran Garis Panduan Permohonan dan Manual Kelulusan Lesen Operasi PBT Sabah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Menurut beliau anggota semua PBT dapat meningkat pengetahuan selain dapat menambahbaik keupayaan pihak berwajib selaras dengan peningkat jumlah peniaga, usahawan dan pelabur di negeri terbabit.

“Kita harap semua peserta dapat memperoleh manfaat daripada forum ini serta seterusnya membawa ilmu ini kepada organisasi masing-masing,” katanya. SabahNews Today