Pilih Bahasa

PDRM dan Perkeso terus jalin kerjasama kempen keselamatan jalan raya

Oleh Junaidi Ladjana

Omar (tengah) ketika merasmikan majlis Penutupan Kempen Keselamatan Jalan Raya Inisiatif PDRM dan Perkeso dengan kerjasama Hotel Tabung Haji di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Junadi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya terutamanya dalam kalangan pekerja.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata PDRM menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) kerjasama strategik itu ternyata berjaya berdasarkan penurunan rekod kemalangan maut iaitu sebanyak 1,664 kematian berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 2,098 kematian.

“Kerjasama strategik ini dari semasa ke semasa juga dapat mendidik pengguna jalan raya terutamanya golongan pekerja supaya lebih berhemah dan mematuhi isyarat jalan raya.

“Menerusi kempen kesedaran dan turun padang seperti ini, ia lebih memudahkan sistem penyampaian kepada golongan pekerja dan orang awam,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Inisiatif PDRM dan Perkeso dengan kerjasama Hotel Tabung Haji, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JSPT Datuk Azisman Alias, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Anak Marin dan Pengarah Tabung Haji Sabah Datin Nurlaila Said.

Omar Mammah. – Gambar SNT/Junadi Ladjana

Omar berkata, kerjasama ini adalah contoh terbaik dalam usaha melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat secara amnya.

Sementara itu, John Riba berkata Perkeso Sabah merekodkan 489 kes kemalangan jalan raya membabitkan pekerja dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

“Daripada jumlah itu sebanyak 22 kematian dicatatkan membabitkan kemalangan ketika dalam perjalanan pergi dan balik tempat kerja ataupun waktu puncak.

“Kempen kesedaran ini amat penting dalam usaha menurunkan kadar kematian dalam kalangan pekerja berikutan hasil kajian bersama institusi pengajian tinggi awam menunjukkan lebih 52 peratus kemalangan berlaku dalam lingkungan lima kilometer dari destinasi pekerja.  

“Selain itu, 65 peratus daripada kes kemalangan jalan raya juga membabitkan golongan belia ataupun mereka yang berusia 40 tahun ke bawah manakala 80 peratus daripadanya adalah pekerja lelaki,” katanya. -SabahNewsToday