Pilih Bahasa

PDRM tingkat kerjasama dengan sekolah tangani isu disiplin

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim (berdiri, tengah) bergambar beramai pada program Back To School 2019 di SMK Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

PUTATAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak sekolah akan sentiasa bekerjasama untuk memantau para pelajar yang terlibat dengan salah laku disiplin.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata bagaimanapun kes disiplin yang melibatkan buli, kerosakan harta benda dan kekerasan di sekolah-sekolah di kawasan Penampang dan Putatan adalah terkawal.

“Setakat ini kita tidak lagi menerima laporan berkaitan masalah pelajar terutama kes buli, melainkan ada yang tidak dilaporkan atau diselesaikan di peringkat sekolah.

“Kita (PDRM) yang bertindak selaku Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) sentiasa bersedia memberikan khidmat kepada pihak sekolah tanpa mengira masa untuk membantu mereka dalam menangani salah laku disiplin pelajar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim (tengah) bersalaman dengan pelajar sambil diperhatikan oleh Pengetua SMK Putatan Johanah Abdullah pada program Back To School 2019 di SMK Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Back To School di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan yang turut dihadiri Pengetuanya, Datin Johanah Abdullah.

Mohd Haris berkata bagi kawasan Penampang dan Putatan terdapat kira-kia 36 buah sekolah iaitu masing-masing 30 sekolah kebangsaan dan enam sekolah menengah.

Tambah beliau lagi antara usaha yang dilakukan oleh PDRM khususnya PPS adalah untuk membantu mewujudkan sekolah selamat dengan menjalankan tanggungjawab digariskan dalam Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah.

Katanya antara tugas itu termasuklah mengumpul maklumat daripada sekolah untuk diambil tindakan jika perlu, melakukan rondaan, lawatan berjadual di kawasan sekolah dan memberikan ceramah berkaitan hal-hal keselamatan kepada warga sekolah.

Oleh itu beliau berharap agar program yang dirancangkan oleh PDRM itu dapat menyemai sikap kesedaran pelajar terhadap tanggungjawab mereka kepada sekolah dan negara. – SabahNeswToday