Pilih Bahasa

Pecah rumah – lelaki tempatan diberkas polis Penampang

Oleh Alfred Petrus

PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang disyaki terlibat dengan aktiviti pecah masuk premis Bataras Putatan berjaya ditangkap oleh sepasukan polis pada 11 Julai.

Ketika tangkapan dibuat, suspek bersama isterinya di salah sebuah pusat peranginan di Pantai Dalit Tuaran kira-kira pukul 11.30 malam.

Harris (tengah) menunjukkan antara barang kes yang dirampas. Gambar SNT/Alfred Petrus

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Harris Ibrahim berkata dalam siasatan yang dijalankan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes pecah premis Bataras dengan seorang rakannya yang kini disiasat di Kota Kinabalu.

“Mereka bersama-sama memecah masuk dan melakukan curi wang dalam peti besi seperti yang dilaporkan oleh pengadu pada beberapa bulan lalu.

“Melalui pengakuan yang dibuat, hasil tangkapan juga telah berjaya menyelesaikan sebanyak tujuh kes pecah rumah sekitar Penampang dan Putatan.

“Namun, suspek dipercayai melakukan kegiatan berkenaan bukan sahaja di Penampang namun luar daerah sehingga ke Kudat,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang, hari ini.

Antara barang kes yang dicuri dalam aktiviti pecah rumah oleh suspek. Gambar SNT/Alfred Petrus

Harris menjelaskan melalui tangkapan itu turut menahan barang kes yang diperoleh hasil maklumat dan tunjuk arah daripada suspek.

Suspek yang juga seorang penganggur itu ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kegiatan pecah rumah.

Suspek juga mempunyai sabitan kes lampau yang mana ditangkap di bawah Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Namun, dalam ujian saringan air kencing mendapati negatif dan tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah. -SabahNewsToday