Pilih Bahasa

Pegawai kanan SPRM ditempatkan di Pejabat Ketua Menteri: Latheefa

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pentadbiran kerajaan negeri menyambut baik cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk menempatkan seorang pegawai kanan agensi berkenaan di Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya perkara tersebut telah dimaklumkan secara terperinci kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung tujuan dan fungsi pegawai yang akan di tempatkan di Pejabat Ketua Menteri.

Latheefa (kiri) dan Mohd Shafie berbual semasa kunjungan hormat SPRM ke atas Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan JKM

“Sebagai satu cara pencegahan, kami di SPRM ingin menawarkan penempatan seorang pegawai kanan di Pejabat Ketua Menteri bertujuan sebagai pencegahan bagi memastikan tidak berlaku sebarang korupsi di situ.

“Malah, Ketua Menteri telah memaklumkan kepada kami tadi bahawa beliau mengalu-alukan cadangan tersebut justeru kami akan memperincikan lagi maklumat berkaitan penempatan itu setelah ia diberitahu kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Mohd Shafie di Pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Latheefa bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan Ketua Menteri. Gambar SNT/Ihsan JKM

Ditanya bila penempatan pegawai kanan SPRM itu akan bermula, Latheefa berkata pihaknya akan memaklumkan mengenainya secepat mungkin.

Mengenai lawatan beliau ke Sabah, Latheefa menambah ia merupakan kunjungan rasminya selain untuk mengadakan perjumpaan dengan pegawai dan kakitangan SPRM negeri ini.

Mengulas lanjut berhubung penempatan pegawai SPRM itu Latheefa menjelaskan tugas SPRM dan unit integriti dalam kerajaan negeri adalah berasingan daripada segi pentadbiran.

Katanya SPRM menawarkan integriti tambahan dalam Pejabat Ketua Menteri yang bermaksud kehadiran pegawai berkenaan bertujuan membantu mencegah salah laku perbuatan rasuah dalam pentadbiran Pejabat Ketua Menteri. – SabahNewsToday