Pilih Bahasa

Pegawai keselamatan ditahan, cium doktor dalam penerbangan

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Pegawai keselamatan, 25, berjaya ditahan polis bagi membantu siasatan dakwaan mencium seorang doktor wanita berusia 29 tahun ketika dalam pesawat dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, pada Rabu.

Menurut keterangan mangsa, kejadian berlaku pada 12 Ogos (Isnin), ketika beliau sedang tidur dalam pesawat berkenaan dan merasakan seperti bibirnya disentuh sesuatu lalu terbangun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (tengah). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata siasatan awal mendapati ketika mangsa terjaga, suspek dikatakan dalam keadaan kelam kabut.

“Semasa dalam penerbangan, mangsa duduk bersebelahan dengan suspek yang datang ke Sabah untuk berjumpa dengan tunangnya.

“Ketika beliau tidur, mangsa terasa bibirnya seperti dicium lalu terbangun dan melihat lelaki disebelahnya dalam keadan kelam kabut seperti ketakutan.

“Beliau percaya telah dicium semasa dalam penerbangan tersebut berikutan mangsa turut terhidu bau rokok ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Kepolisan Konstabel Siri Dua 2019, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Akibat kejadian terbabit, berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa. Namun, suspek menafikan dirinya melakukan gangguan seksual terhadap mangsa.

Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), mangsa membuat laporan polis berhubung insiden terbabit.

Pihak polis turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaaan kerana mencabul.

Ekoran kes tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat penahanan terhadap suspek di Kingfisher dan akan direman untuk membantu siasatan lanjut.

Pihak polis turut merampas merampas pakaian mangsa dan suspek untuk dihantar ke forensik bagi mengesan DNA. -SabahNewsToday