Pilih Bahasa

Pegawai Pemerintah PGA Beluran baharu mahu batalion disegani, ditakuti musuh

SANDAKAN, 24 Jun (Bernama) — Pegawai Pemerintah Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran yang baharu mahu menjadikan batalion itu antara yang disegani dan ditakuti pihak musuh, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata beliau akan memperkemaskan lagi pentadbiran Batalion 20 PGA dan akan berusaha untuk memastikan keselesaan warga batalion itu yang berpusat di sebuah bangunan kedai yang disewa sejak lebih empat tahun lalu.

“Kami sepatutnya berpindah ke tempat baharu, namun disebabkan kekangan peruntukan belum membolehkan kami berpindah.

“Bagaimanapun, saya akan berusaha untuk memimpin Batalion 20 PGA Beluran sebaik mungkin dalam memastikan amanah dan tanggungjawab terhadap keselamatan negara terlaksana,” katanya kepada pemberita selepas menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan sempena majlis penyampaian amanat pertama pegawai pemerintah baharu batalion PGA itu.

Beliau berharap 641 pegawai dan anggota batalion itu memberi kerjasama kepadanya sepanjang perkhidmatannya memimpin batalion itu.

Mohd Nasaruddin menggantikan pegawai pemerintah terdahulu, ACP Rattan Kumar Singh yang berpindah ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Sebelum ini, Mohd Nasaruddin pernah menjawat jawatan Ketua Jabatan KDNKA di IPK Sabah, Ketua Polis Daerah Kunak dan pegawai kanan dalam Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman yang ditugaskan semasa Operasi Daulat susulan pencerobohan kumpulan bersenjata Filipina di Lahad Datu pada 2013.

— BERNAMA