Pilih Bahasa

Pejabat Adun Kadamaian anjur pertandingan Video Kreatif #StayAtHome

     Ewon (tengah) mengadakan perbincangan bersama Pegawai Daerah Kota Belud, Diyannah Abdullah (dua dari kanan) mengenai usaha membendung penularan Covid-19. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

KOTA BELUD: Pejabat Perhubungan Adun Kadamaian dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian menganjurkan pertandingan video kreatif pendek #StayAtHome sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif tersebut diadakan bagi menggalakkan pematuhan PKP khususnya bagi komuniti di kawasan Dun Kadamaian.

“Bagi komuniti di Dun Kadamaian, video pendek kreatif 15-30 saat masa berkualiti bersama keluarga sepanjang tempoh PKP boleh dikongsikan di laman facebook page Pejabat Perhubungan ADUN N7 Kadamaian. Video kreatif ini akan menerima hadiah daripada kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah menggesa semua rakyat negeri ini memberi kerjasama terbaik bagi menghapuskan penularan pandemik Covid-19 dan menjayakan PKP.

Sementara itu, sebagai sokongan kepada Jawatankuasa Bencana Daerah Kota Belud dalam usaha membendung penularan Covid-19, beliau turut memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada jawatankuasa itu.

“Oleh kerana sambutan Kaamatan Peringkat Daerah ditiadakan pada tahun ini, maka sumbangan di bawah Program Touchpoints saya selaku Adun Kadamaian untuk sambutan ini sebanyak RM20,000 saya salurkan kepada jawatankuasa ini.

“Sumbangan itu akan digunakan untuk membeli keperluan-keperluan yang difikirkan bersesuaian termasuk bekalan mentah makanan kepada isurumah keluarga yang dikuarantin oleh Jabatan Kesihatan.

“Saya melawat Bilik Gerakan Pusat Kawalan Operasi Bencana Covid-19 Pejabat Daerah Kota Belud, dua hari yang lepas (Jumaat) dan telah menyampaikan sumbangan itu. Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu usaha membendung penularan Covid-19,” katanya. – SabahNewsToday