Pilih Bahasa

Pejabat Adun Moyog ditukar menjadi Pejabat Adun Bergerak: Jenifer Lasimbang

Oleh Chris Maskilone

PENAMPANG: Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Jenifer Lasimbang menjelaskan penutupan Pejabat Adun Moyog telah lama dirancang kerana beliau bercadang beroperasi melalui Pejabat Adun Bergerak.

“Ianya sudah bermain di fikiran saya agak lama kerana saya berpendapat lebih mudah bagi saya berkhidmat kepada rakyat di kawasan Moyog melalui Pejabat Adun Bergerak,” katanya.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Jenifer berkata idea tersebut timbul setelah disedari terdapat pertindihan fungsi di antara staf Pejabat Adun Moyog dan pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Moyog.

Beliau berkata pejabat Adun bergerak itu lebih sesuai bagi Moyog yang mana kawasannya adalah luas dan penduduknya berselerak.

Sementara itu, Pejabat Adun Moyog pula akan diubah suai menjadi sebuah pusat kreativiti dan inovasi bagi usahawan dalam kawasan beliau, katanya.

Makluman penutupan sementara Pejabat Adun Moyog turut disebarkan di media sosial. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

Dalam satu kenyataan hari ini, Jenifer menafikan Pejabat Adun Moyog ditutup kerana beliau kecewa tidak mendapat sokongan moral daripada staf pejabatnya sendiri berikutan  kekalahan beliau dalam pemilihan parti merebut jawatan timbalan ketua Wanita Parti Warisan Sabah (Warisan) baru-baru ini.

Menurutnya, mesej Whatsapp yang ditulis olehnya dan telah menjadi tular sebenarnya hanya untuk tatapan staf Pejabat Adun Moyog sahaja.

“Namun, mesej tersebut dipercayai dibocorkan ke dunia maya oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Berikutan penyebaran salinan mesej Whatsapp tersebut di media sosial Jenifer dilihat seolah-olah telah memecat kesemua staf pejabatnya.

Jenifer mempunyai enam staf di Pejabat Adun Moyog dan 10 lagi di pejabat UPPM Moyog.

Beliau menekankan mereka hanya diminta untuk mengambil cuti dan bukan letak jawatan disebabkan pejabat tersebut sedang diubah suai untuk menjadi sebuah pusat seperti Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) di Cyberjaya.-SabahNewsToday