Pilih Bahasa

Pejalan kaki maut terkena tayar lori tangki tercabut

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala. – Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang pejalan kaki maut selepas terkena tayar lori tangki yang tercabut di Kilometer 9, Jalan Lahad Datu – Sandakan berhampiran Kampung Tamoi, di dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 10.20 pagi, mangsa Hadi Lanunu, 64, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata difahamkan lori tangki jenis Nissan yang membawa muatan minyak sawit sedang dalam perjalanan dari arah Sandakan menuju Lahad Datu.

“Ketika tiba di lokasi kejadian tayar di bahagian tengah sebelah kiri lori tercabut dan menyebabkan tayar berkenaan terkena mangsa yang sedang berjalan di bahu jalan raya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke bilik mayat Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Lori di bahagian tengah sebelah kiri tercabut dan terkena seorang lelaki yang berjalan kaki di bahu jalan. – Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

Nasri berkata, susulan kejadian pihaknya menahan pemandu lori berusia 42 tahun yang juga warga Indonesia di lokasi kemalangan bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit tidak memiliki lesen memandu. 

“Pemandu lori ditahan reman dan tindakan juga akan diambil kepada majikan kerana menggaji dan membenarkan pekerja asing yang memandu tanpa lesen dan tidak memiliki cukai jalan,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai hingga mengakibatkan kematian. – SabahNewsToday