Pilih Bahasa

PEKEBUN ANGKAT DAPAT PELUANG USAHA TANAH KOMPLEKS SUKAN TAWAU

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Projek Komuniti Pekebun Angkat Kompleks Sukan Tawau (KST) melibatkan tanah seluas lapan ekar adalah sumbangan sosial korporat organisasi sukan itu kepada rakyat marhaen, khususnya golongan pesara.

Pengurus Projek merangkap Pengurus KST, Anuar John berkata projek yang dijalankan selama berfasa lima tahun itu kini disertai lapan pekebun angkat sejak beroperasi pada 2016.

Antara pekebun angkat yang menerima tanah daripada Projek Komuniti Pekebun Angkat Kompleks Sukan Tawau (KST). Gambar SNT / Ihsan Pengurus KST

“Projek jangka masa pendek (2016-2021) ini disertai pesara yang berumur antara 42 sehingga 78 tahun dan tinggal berhampiran KST,” katanya, dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata hanya tanaman kontan seperti ubi keledek, ubi kayu, jagung, cili api, kacang tanah dan sayur-sayuran dibenarkan, untuk melindungi struktur tanah di kawasan itu tidak terjejas.

Mengulas lanjut, projek itu juga dijalankan secara berfasa untuk setiap lima tahun, sementara pembangunan projek fasiliti Padang Bola Sepak A dan Padang Ragbi masih belum dijalankan.

“Kita melihat langkah ini membolehkan KST berbakti kepada rakyat tanpa mengeluarkan kos tetapi berimpak tinggi khususnya dari segi meningkatkan ekonomi golongan pesara.

“Sekaligus mewujudkan hubungan yang akrab antara masyarakat sekitar dengan KST, sebagai organisasi kerajaan yang mengamalkan dasar mesra rakyat selaras aspirasi kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata langkah itu juga memastikan kawasan tanah yang belum dibangunkan sentiasa terjaga tanpa aktiviti pencerobohan yang tidak dikehendaki, seperti rumah setinggan.

Menurutnya, setakat ini semua peserta pekebun angkat terlibat memahami bahawa mereka perlu mematuhi syarat-syarat penggunaan tanah yang ditetapkan.

“Pekebun angkat akur untuk tidak terus bercucuk tanam, sekiranya sudah tiba masa untuk fasiliti sukan di tanah milik KST yang mereka usahakan hendak dibangunkan oleh kerajaan.

“Kita juga menerima maklum balas positif warga Tawau khususnya penduduk sekitar mengenai pelaksanaan projek ini kerana prihatin terhadap keperluan warga memerlukan,” katanya.

Pekebun angkat yang terlibat juga dikatakan menjadi contoh rakyat yang mampu berdikari tanpa terlalu bergantung dengan wang ihsan kerajaan apabila memanfaatkan peluang itu.

Sekaligus, mencegah aktiviti tidak bermoral seperti penagihan dadah di kawasan terbiar milik kerajaan dengan kehadiran pekebun angkat menjalankan aktiviti bercucuk tanam setiap hari.

“Kita percaya projek ini wajar diteruskan kerana secara tidak langsung turut memberikan kesan positif terhadap imej korporat KST, serta mengurangkan kos kos penjagaan tanah.

“Sekiranya tanah ini masih belum dibangunkan pada 2021, kita optimis kerjasama sebegini wajar diteruskan demi memastikan tanah ini tidak terbiar tanpa memberikan manfaat,” katanya. – SabahNewsToday