Pilih Bahasa

Pekebun kecil getah digalak mulakan tanaman kontan: Isnin

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Program tanaman semula dan tanaman baharu getah yang diperkenalkan oleh kerajaan akan dapat membantu pekebun kecil di negeri ini dalam menghadapi ketidaktentuan harga komoditi itu di pasaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias Datuk Isnin Aliasnih berkata para pekebun digesa menumpukan program tersebut sekurang-kurangnya untuk membolehkan mereka terus meraih pendapatan secara berterusan hasil tanaman getah.

Isnin Aliasnih. – Gambar fail SNT

“Di samping itu para pekebun kecil juga digalakkan mengusahakan tananam kontan (cash crop) seperti disarankan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bagi mengelak kebergantungan kepada sejenis tananam.

“Pertanian campuran ini akan membantu pekebun kecil dalam menangani krisis kewangan akibat ketidaktentuan harga getah dan sawit di pasaran,” katanya semasa membahaskan usul ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Isnin berkata pekebun kecil tidak akan putus pendapatan apabila mereka mengusahakan tananam kontan seperti tomato, sayuran, lada dan kelapa dwarf yang kini giat dipromosikan oleh negara luar seperti Filipina.

Selain itu beliau turut meminta kerajaan menaik taraf Institut Pertanian Timbang Manggaris di Kota Belud kepada status universiti.

Langkah itu jelasnya akan dapat melahirkan graduan pertanian yang amat diperlukan untuk pertanian lebih moden dan mampu menghasilkan sumber yang lebih lumayan.

Katanya sektor pertanian di Sabah memerlukan pembabitan golongan muda yang mempunyai inovasi dalam memajukan pertanian dan dapat mentransformasikan sektor itu sebagai satu perniagaan.

Dalam perbahasannya, Isnin turut menekankan perlunya Ko-Nelayan diperkasakan dengan melihat kembali objektif penubuhan koperasi itu untuk membantu golongan nelayan di negeri ini.

“Ko-Nelayan ketikan ini bagai terpinggir sedangkan fungsi dan peranannya sama seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Oleh itu kita mahu pemerkasaan itu dimulakan dengan menaik taraf Pusat Latihan Akuakultur Ko-Nelayan di Kampung Laya-Laya sebagai institut atau kolej,” katanya. – SabahNewsToday