Pilih Bahasa

Pekerja am ladang sawit maut kemalangan jalanraya

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia ketika sedang menjalani rawatan selepas terlibat dalam kemalangan di Hospital Besar Tawau pada pukul 6.50 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata mangsa pekerja am di sebuah ladang sawit dikenali sebagai Tasius Tallu, 40, cedera apabila motosikal jenis Modenas yang ditunggangnya dirempuh kenderaan jenis Toyota Land Cruiser di Batu Sembilan, Jalan Apas, dekat sini semalam.

Penunggang motosikal ini disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Besar Tawau pagi tadi. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

“Kejadian pukul 7.40 malam itu berlaku ketika pemandu Toyota Land Cruiser berusia 33 tahun dan mangsa yang berada di arah yang sama dalam perjalanan dari Bandar Sri Indah menghala ke Bandar Tawau.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu terbabit mengubah haluan kenderaannya dari lorong kanan memasuki lorong kiri lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Besar Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu Land Cruiser secara tiba-tiba menukar laluannya hingga melanggar motosikal mangsa dari arah belakang. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Nor Azizulkifli berkata, berdasarkan laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat parah di bahagian kepala.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – SabahNewsToday