Pilih Bahasa

Pekerja gaji hari lebih 10 tahun wajar diserap ke jawatan tetap: Isnin

BEAUFORT: Pekerja bergaji hari yang telah berkhidmat lebih daripada sepuluh tahun wajar diberikan peluang dan diserap ke jawatan tetap.

Ahli Dewan Undangan Negeri Klias Datuk Isnin Haji Aliasnih berkata pengalaman pekerja itu berupaya membantu dan amat berguna.

Isnin (kanan) mendengar masalah pekerja bergaji hari yang
mengadakan perjumpaan di pejabatnya. Gambar SNT/Ihsan Pejabat Dun Klias

“Kita meminta agar kerajaan memberi perhatian terhadap perkara ini dan mereka (pekerja gaji hari) yang telah berkhidmat lebih sepuluh tahun wajar diserap ke jawatan tetap,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini kelmarin.

Isnin yang juga ketua penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Beaufort sebelum itu menerima kunjungan daripada pekerja bergaji hari di sebuah jabatan Kerajaan Negeri.

Pada pertemuan itu Isnin dikejutkan apabila ada di kalangan mereka sudah berkhidmat lebih daripada 20 tahun.

 “Saya simpati dengan mereka dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku…mungkin ada aspek yang menjadi halangan tetapi jika berdasarkan kepada pengalaman mereka sepatutnya sudah lama diserap ke jawatan tetap,” katanya.

Isnin memberitahu bahawa beliau akan membawa perkara itu kepada kementerian dan jabatan yang berkenaan.

Menurutnya sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh pekerja bergaji hari terhadap pembangunan negeri ini tidak boleh dinafikan.

“Mereka turut memberi sumbangan yang bermakna kepada pembangunan negeri dan mereka perlu dibela kerana mereka adalah rakyat tempatan,” katanya dan menambah pengalaman yang mereka miliki dengan jawatan yang diberikan pada ketika ini wajar diberi keutamaan.

Beliau berkata pekerja tersebut boleh diserap ke jawatan tetap dengan jawatan mereka ketika ini dan tidak semestinya
diserap ke jawatan yang lain.-SabahNewsToday