Pilih Bahasa

Pekerja kilang dibunuh, pasangan suami isteri ditahan bantu siasatan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Seorang pekerja kilang batu-bata warganegara Indonesia maut dipercayai dibunuh di rumah pekerja, Kampung Telisai, Kilometer 62 Tungku, dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa Abdul Latif Saripuddin, 49, parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tikaman di bahagian perut.

Lokasi kejadian mangsa maut dipercayai dibunuh. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah malam selepas jiran mangsa mendengar jeritan mangsa di dalam rumah pekerja.

“Jiran mangsa kemudian menghubungi majikan mereka dan bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

“Majikan mangsa bersama suaminya kemudian ke rumah mangsa dan bertindak memecahkan pintu rumah terbabit yang terkunci,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Nasri berkata majikan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring di ruang tamu dan berlumuran darah.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati tidak ada unsur pecah rumah,” katanya.

Beliau berkata susulan kejadian itu, pasangan suami isteri ditahan bagi membantu siasatan.

“Wanita berkenaan adalah warganegara Filipina dan pernah bekerja sebagai tukang bersih di rumah mangsa yang diberhentikan sejak dua hari lalu.

“Mangsa sudah menetap di Sabah selama 20 tahun dan tinggal bersendirian di rumah berkenaan selepas keluarganya pulang ke Indonesia pada tahun 2016,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata suspek dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. –SabahNewsToday