Pilih Bahasa

Pekerja kilang kayu hilang tempat berteduh

Oleh Junaidi Ladjana

Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan rumah dan satu satu blok 10 pintu menempatkan pekerja kilang kayu di Jalan Patikung Ulu, Keningau. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

KENINGAU: Seramai 50 pekerja di sebuah kilang kayu di Jalan Patikung Ulu, di sini tinggal sehelai sepinggang selepas lima rumah dan sebuah blok 10 pintu musnah terbakar pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.04 pagi.

“Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikerah ke lokasi kejadian menggunakan sebuah jentera.

“Setiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan satu blok 10 pintu menempatkan pekerja kilang dan lima rumah terbakar sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan sebelum api berjaya dikawal pada pukul 10.30 pagi.

Jurucakap PGO itu berkata operasi ditamatkan kira-kira 15 minit kemudian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – SabahNewsToday