Pilih Bahasa

Pelabuhan POIC Lahad Datu diwartakan

Oleh Chris Maskilone

TUARAN: POIC Lahad Datu dilihat mampu menarik lebih banyak pelaburan dengan pewartaan Pelabuhan POIC Lahad Datu sebagai tempat berlabuh yang sah (legal landing place).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata perkara tersebut akan beliau laporkan kepada Kabinet negeri pada Rabu ini.

Madius (kiri sekali) bersama dengan tetamu undangan antaranya Adun Paginatan Datuk Abidin Madingkir (kanan sekali), Adun Sugut Datuk James Ratib (dua kiri), Rakam Sijim (tiga kanan) dan Ketua Daerah Tamparuli OKK Johnny Tanggar (dua kanan) di Majlis Rumah Terbuka Krismas tersebut. Gambar SNT/Ihsan Upko

“Dengan lain perkataan pelabuhan Lahad Datu akan dapat mengendalikan kontena dan lain-lain.

“Adanya perkhidmatan CIQ (kastam, imigresen dan kuarantin) yang sepenuhnya akan memudahkan lagi bagi kerajaan khususnya pihak kementerian untuk menarik pelabur  terutama sekali di POIC Lahad Datu,” katanya.

Ditemui di majlis Rumah Terbuka Krismas Ahli Parlimen Tuaran di Dewan Masyarakat Tenghilan di sini pada Ahad, beliau percaya perkembangan terkini itu akan menambah keyakinan syarikat-syarikat pelaburan untuk datang ke POIC Lahad Datu.

“Kita telah berbincang untuk syarikat-syarikat ini meneruskan pelaburan mereka dan kalau ini berjaya tahun ini memang pelaburan kita (terima) akan mencecah bilion ringgit dan jauh lebih baik dari tahun lepas.

“Pada tahun ini kita mahu pertingkatkan kerjasama di antara POIC Lahad Datu dengan Mindanao di Selatan Filipina dan juga Indonesia,” kata Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Menurutnya kerajaan Sabah memang telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Malindo 2 daripada Indonesia dan juga North Port di Pelabuhan Kelang.

“Kita juga berharap dapat bekerjasama dengan beberapa perlabuhan di Mindanao. Jadi dengan ini kita berharap kita dapat mengorak langkah untuk menjadikan pelabuhan POiC sebagai satu hab transshipment dan dengan itu kita akan pertingkatkan lagi daya tarikan POIC Lahad Datu untuk menarik pelabur-pelabur terutama sekali dalam sektor pembuatan,” ujarnya.-SabahNewsToday