Pilih Bahasa

Pelabur dipelawa majukan industri hiliran di Sabah

Oleh Alfred Petrus

Mohd Yaakub (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Madius (tengah). – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan bersedia untuk memberikan kerjasama kepada bakal pelabur dalam industri hiliran di negeri ini.

Hal demikian kerana, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata kerajaan negeri memberi fokus dalam industri hiliran pelbagai bidang pada masa kini.

“Industri berkenaan antaranya minyak dan gas, kelapa sawit, getah dan banyak lagi. Kita berhadapan dengan cabaran besar dalam pengeksportan minyak sawit di peringkat antarabangsa.

“Salah satu pilihan kita untuk mengatasi pengeluaran berlebihan kelapa sawit di sini adalah dengan mewujudkan industri hiliran,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perniagaan Malaysia (Sabah)-Singapura di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian turut menyatakan bahawa kerajaan negeri juga mengalu-alukan para pelabur untuk melabur industri hiliran dalam sektor minyak dan gas.

Selain itu, jelasnya Sabah juga mempunyai bekalan bahan mentah yang banyak khususnya dalam sektor sawit dan getah.

“Kerajaan sedia untuk mengadakan perbincangan dengan bakal pelabur yang berminat melabur dalam sektor berkenaan.

“Saya yakin Sabah juga akan menerima limpahan ekonomi yang besar apabila Indonesia memindahkan Ibu negara mereka di Kalimantan pada masa hadapan.

“Harga getah sekarang juga berhadapan dengan masalah disebabkan bekalannya terlalu banyak, ini juga dilihat satu peluang kepada kita untuk mewujudkan industri hiliran dalam sektor komoditi ini,” jelasnya.

Katanya terdapat sekurang-kurangnya dua pelabur akan membina kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dalam pembuatan tayar.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih daripada 20 pelabur yang hadir ke mesyuarat berkenaan akan mengambil peluang untuk menerokai kepelbagaian potensi pelaburan dalam negeri.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) Datuk Dr Mohd Yaakub Johari dan Pengerusi Bersama Majlis Perniagaan Malaysia Singapura (MSBC) Robert Yap. – SabahNewsToday