Pilih Bahasa

Pelabur Jepun bina taman solar seluas 10 hektar di Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Sebuah taman tenaga solar akan dibina di kawasan seluas 10 hektar di negeri ini oleh sebuah syarikat dari Jepun menggunakan teknologi moden yang dimajukan negara tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia merupakan pelaburan jangka panjang dan bakal memberikan manfaat berguna kepada rakyat di Sabah terutama daripada segi sumber tenaga alternatif.

Mohd Shafie (kanan) menerima cenderahati daripada Nikko selepas kunjungan hormat kumpulan palbur dari Jepun di pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan JKM

“Kita membantu daripada segi mencari tapak bagi membina taman solar itu dan lokasi belum ditentukan lagi sehingga kita dapat mencari kawasan yang bersesuaian.

“Pelaburan bagi membina taman solar itu termasuk membekalkan kemudahan iaitu panel solar kerana mereka mempunyai teknologi yang diperlukan, kita cuma hendak menyediakan tanah itu saja,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada kumpulan pelabur Jepun, Wanoyu Global Co., Ltd Japan di pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPUNS).

Mohd Shafie (tengah) mengadakan pertemuan bersama kumpulan pelabur Jepun di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Sidang media itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Mohd Hashim Paijan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wanoyu Global, Nikko Doh.

Selain itu Mohd Shafie berkata kumpulan pelabur itu turut menyatakan minat untuk melabur dalam industri pelancongan dan perladangan di Sabah.

Mohd Shafie (kanan) menunjukkan keratan akhbar media Jepun yang memuatkan artikel mengenai pembangunan Sabah dan temubual bersama beliau. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Menurut beliau pelabur negara tersebut tertarik dengan keindahan alam semulajadi di negeri ini khususnya kawasan pantai dan pulau yang mat sesuai untuk membina pusat pelancongan seperti hotel serta resort.

Sementara itu, Nikko berkata pihaknya bersedia untuk merancang pelan pelaburan di antara Sabah dan Jepun dan membawa teknologi tinggi dari negara Matahari Terbit itu dengan sokongan penuh daripada kerajaan negeri. – SabahNewsToday