Pilih Bahasa

Pelabur luar minat teroka industri ternakan lembu di Kemabong

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jamawi mempengerusikan mesyuarat. Gambar SNT/Ehsan Pejabat DUN Kemabong

KEMABONG: Industri penternakan di kawasan ini berpotensi untuk ditingkatkan apabila Syarikat Multinational BeefVelley Consortium Berhad dikatakan berminat untuk melabur dalam industri ternakan lembu di Kampung Rundum, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Jamawi Jaafar berkata syarikat tersebut berminat melabur di Sabah khususnya di Kampung Rundum kerana potensi, lokasi dan insentif yang disediakan oleh kerajaan.

“Saya difahamkan syarikat ini akan menjalin kerjasama dengan menggunakan teknologi daripada negara Jepun dan hasilnya nanti akan di eksport ke negara Jepun,” katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat di Pejabat Daerah Kecil Kemabong.

Menurut Jamawi daging lembu Waghu boleh mencapai harga pasaran di Jepun sehingga RM2,000 sekilogram dan yakin sekiranya projek itu berjaya direalisasikan ia akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya anak muda di Kemabong dan Tenom.

“Proses rundingan akan diteruskan sebelum menandatangani perjanjian untuk memulakan pelaburan ini dan ia melibatkan banyak pihak sebelum dilaksanakan” katanya.

Tambah Jamawi sebagai wakil rakyat di kawasan itu beliau sentiasa mencari idea untuk memajukan dan meningkatkan taraf siso ekonomi rakyat di kawasan itu.

“Selain memajukan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan yang kini mula dikenali dan dikunjungi ,sektor pertanian juga antara fokas utama untuk dimajukan di kawasan ini sebagai penjana taraf sosio ekonomi rakyat setempat,” katanya. – SabahNewsToday