Pilih Bahasa

Pelaburan kerajaan negeri dalam industri kayu-kayan Sabah berhasil

Oleh Zakaria Damit

Ben (kiri) semasa lawatan ke kilang KK Assan. – Gambar SNT/Ihsan unit media Dun Tanjong Kapor

KUDAT: Usaha untuk meletakan Sabah sebagai negeri peneraju dalam negara untuk mengeluarkan produk-produk berasaskan kayu-kayan mula menunjukkan hasil.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Industri, Ben Chong berkata ini dibuktikan melalui perjanjian usaha sama Kilang Papan KK Assan Sdn Bhd yang akan berkolaberasi dengan Syarikat Fujian Anxi Jufeng Handicraft dari China dalam industri pembuatan perabot.

Menurut Ben Kolaberasi dalam pembikinan perabot itu adalah berasaskan kayu akasia melalui kilang syarikat tempatan itu di utara Sabah dan kerjasama itu bakal menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. 

“Kerjasama ini dapat direalisasikan selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengarahkan kerajaan negeri mengharamkan pengeksportan kayu balak.

“Tindakan berani kerajaan negeri jelas sudah mula menampakkan hasilnya apabila pemain industri kayu-kayan tempatan lebih mudah mendapat bekalan dari hasil Bumi Sabah sendiri.” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, hasil kayu Sabah akan dieksport ke luar negara sekaligus memaksa pengusaha perabot tempatan mendapatkan bekalan kayu sama ada dari Sarawak atau Semenanjung.

Langkah kerajaan negeri dalam pengharaman eksport kayu itu juga telah memberi impak yang amat positif kepada Makeson Sdn Bhd yang akan mendirikan chalet pasang siap selepas mendapat permintaan dari Maldives 

Usaha kerajaan negeri ini juga telah berjaya menyuntik pelaburan bernilai RM30 juta kepada  Syarikat Lamitech International Sdn Bhd yang berpengkalan di Kimanis. 

Selain itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Kapor Ben turut berterima kasih kepada Shafie yang serius menaikkan industri hiliran di Utara Sabah termasuk Kudat. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Kapor itu berkata keseriusan kerajaan negeri dalam menaikkan industri hiliran Sabah bukan retorik seperti yang dicanangkan oleh pihak pembangkang. 

“Saya nampak usaha untuk membina landasan kereta api yang akan menghubungkan Kudat – Kota Kinabalu sudah bermula, begitu juga dengan rancangan pembinaan Pelabuhan Laut Dalam Kudat serta Taman Industri Kudat,” tegas Ben. – SabahNewsToday