Pilih Bahasa

Pelaburan RM100 juta POIC dengan syarikat Jepun ditandatangani

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (empat, kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Presiden dan CEO Blue Capital Management Co Ltd, Hideo Harada (dua, kiri) dengan Presiden dan COO Blossom Bio Energy Sdn Bhd, Jeffrey Lu (tiga, kanan) pada majlis Sabah Investment Seminar di Okura Hotel Tokyo hari ini. (Gambar ihsan: Jabatan Ketua Menteri Sabah)

KOTA KINABALU, 4 Dis — Misi pelaburan Sabah ke Jepun berjaya memuktamadkan perjanjian pelaburan sebanyak RM100 juta daripada Blue Capital Management Co Ltd (Blue Capital), sebuah syarikat dari Tokyo yang terlibat dalam penggunaan tenaga biojisim.

Pelaburan tersebut dimeterai melalui perjanjian yang ditandatangani antara Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu dan syarikat tempatan, Blossom Bio Energy Sdn Bhd (BBE).

Perjanjian itu disaksikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau dan Setiausaha Kerajaan Sabah Datuk Safar Untong semasa lawatan kerja di Tokyo hari ini.

POIC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Pang Teck Wai manakala Blue Capital diwakili Presiden, Hideo Harada dan BBE oleh Presidennya, Jeffery Lu.

Menurut satu kenyataan daripada Jabatan Ketua Menteri, perjanjian tersebut merangkumi sewaan tanah seluas dua hektar di POIC Lahad Datu bertempoh 20 tahun bagi membolehkan BBE dan Blue Capital membina sebuah kilang memproses tenaga biojisim daripada kernel sawit kosong (PKS) yang akan dieksport ke Jepun.

Mohd Shafie menyifatkan kejayaan mendapatkan pelaburan itu sebagai amat bermakna dalam membangunkan ekonomi negeri melalui industri sawit, di samping membuka peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya di Lahad Datu.

“Saya yakin ini merupakan satu usaha sama yang akan membawa bukan sekadar pelaburan bahkan juga peluang pekerjaan kepada anak-anak kita di Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan itu.

Sejak 2018, Blue Capital yang terlibat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui telah mula menghasilkan sistem pengstoran tenaga (ESS) daripada biojisim bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik.

Dengan adanya ESS, Blue Capital merancang untuk membina tiga stesen janakuasa berkapasiti 50 megawatt di Hokkaido, Shizuoka dan Aichi, justeru memerlukan bekalan sebanyak 750,000 tan kernel sawit kosong setahun.

Mengulas lanjut mengenai misi pelaburan kerajaan negeri Sabah ke Jepun yang berlangsung selama tujuh hari bermula Jumaat lepas, Mohd Shafie menyifatkan misi kali ini amat berjaya tetapi tindakan susulan perlu diambil untuk memastikan setiap pemadanan perniagaan yang dibuat dapat direalisasikan.

Kerajaan negeri Sabah juga akan terus melaksanakan dasar-dasar terbaik bagi memastikan pelaburan yang masuk ke Sabah bukan sahaja dipermudahkan tetapi mampu bertahan untuk jangka panjang.

“Kita akan membuat pembaharuan, setiap misi yang dibuat ke luar negara, kita akan lihat bagaimana hasilnya, apa kesudahan lawatan itu, bukan hanya kita keluarkan duit ke luar negara untuk bertemu dengan pelabur tetapi kita mahu mengenal pasti apa kesudahannya, biar ia memberi manfaat.

“Ada beberapa perkara yang perlu kita perhalusi. Mereka (pelabur) membangkitkan tentang insentif yang perlu kita sediakan kerana mereka mahu melihat bahawa pelaburan itu bukan hanya membawa manfaat tetapi mampan memandangkan modal yang terlibat agak besar,” kata Mohd Shafie.

— BERNAMA