Pilih Bahasa

PELAJAR, 15 TERKORBAN DALAM KEMALANGAN MOTOSIKAL

Oleh Mohd Adam Arinin

Motosikal berkuasa tinggi yang digunakan seorang remaja perempuan yang maut setelah motosikal yang ditunggangi hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan JBPM Sabah

KOTA KINABALU: Seorang pelajar perempuan maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangi hilang kawalan dan terbabas pada penghadang jalan di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Tuaran, semalam.

Mangsa Masni Apin, 15, pelajar dari sebuah sekolah di Tamparuli disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Manakala, pembonceng seorang lelaki berumur 30 tahun mengalami cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 2.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata siasatan dilokasi kejadian mendapati mereka dari arah Likas menuju ke pusat bandaraya.

Anggota bomba menunggu ketibaan pihak polis untuk membawa mayat seorang remaja perempuan yang maut setelah motosikal yang ditunggangi hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan JBPM Sabah

“Apabila sampai di lokasi kemalangan, mangsa yang maut telah hilang kawalan lalu terbabas di hadapan sebuah stesen minyak.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa telah maut dilokasi dan pembonceng mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Habibi, orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan pihak polis dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai menyaksikan kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan pihak polis dengan menghubungi balai polis traffik berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Chong Chee Wah di talian No. 016-3032030. -SabahNewsToday