Pilih Bahasa

PELAJAR TAHUN AKHIR PROGRAM SENI MUZIK UMS BERSATU DEMI MUSIC STUDENT SHOWCASE 2019

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pelajar tahun akhir Program Seni Muzik Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal mengadakan persembahan Music Student Showcase 2019 pada 9 Mac ini.

Bertempat di Dewan Resital, UMS, persembahan akan disertai seramai 30 pelajar tahun akhir selain alumni dan pelajar junior fakulti sama.

Seramai 30 pelajar tahun akhir Program Seni Muzik Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal mengadakan persembahan Music Student Showcase 2019 pada 9 Mac ini. Gambar SNT/ Ihsan Roslee Wahid

Pensyarah Program Muzik FKSW, Roslee Wahid berkata persembahan berkenaan adalah julung kali diadakan berikutan program baharu yang mula dilaksanakan sejak tahun 2018 pada semester dua 2017/2018.

“Kita juga bakal menampilkan pemenang pingat perak yang mewakili negara ke acara World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, Dayang Nurzareen.

“Penganjuran persembahan seni itu bertujuan sebagai platform untuk pelajar muzik UMS menunjukkan bakat dan pencapaian mereka dalam bidang muzik kepada warga UMS dan orang awam.

“Ia juga memberi pendedahan kepada pelajar seni muzik melalui persembahan di atas pentas selain pengalaman dalam aspek persembahan.

“Bertemakan Best of Both World, Music Student Showcase 2019 ini turut dilihat mampu memupuk sikap artistik dalam muzik,” katanya melalui siaran media, hari ini.

Dalam pada itu, Roslee berkata beliau berharap persembahan itu mendapat sambutan dan sokongan terutamanya dalam kalangan warga UMS dan orang awam.

Menurutnya, tiket persembahan dijual hanya pada harga RM10 dan sebarang pertanyaan  boleh menghubungi Gary Lois di talian 01131996711 atau Daba pada talian 0168674768. -SabahNews Today