Pilih Bahasa

Pelajar bukan Melayu digalak sertai aktiviti berkaitan bahasa dan sastera

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Golongan pelajar bukan berbangsa Melayu di negeri ini diminta sentiasa aktif menyertai pertandingan berkaitan bahasa serta sastera dalam usaha mengangkat martabat bahasa kebangsaan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata penglibatan berterusan pelajar bukan Melayu dalam aktiviti berkenaan secara tidak langsung menyokong pelaksanaan memartabatkan Bahasa Melayu memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang sudah ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Setiausaha Politik Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Henry Shin Chee On (sembilan dari kanan) bergambar dengan semua pemenang sempena Pertandingan Forum Pelajar dan Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sabah 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Phoong berkata pertandingan mengutamakan Bahasa Melayu juga secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada masyarakat terutamanya generasi muda mengenai kepentingan bahasa kebangsaan dalam pembinaan sebuah negara bangsa.

“Ia turut boleh membantu pelajar untuk memantapkan lagi penguasaan Bahasa Melayu masing-masing bukan sahaja ketika sesi pembelajaran tetapi waktu bertutur dalam kehidupan seharian selain boleh memantapkan, mengukuh serta memanifestasikan jati diri dan citra bangsa  yang cemerlang dlam kalangan generasi baru khususnya pelajar tanpa mengira kaum mahupun latar bahasa melalui penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

“Pertandingan seumpama ini juga dapat memupuk pembentukan semangat kewarganegaraan, kesetiaan kepada bangsa serta integrasi nasional yang akan membantu pelajar menentukan hala tuju kehidupan mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Pertandingan Forum Pelajar dan Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sabah 2019, dekat sini, hari ini.

Setiausaha Politik Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Henry Shin Chee On (tiga dari kanan) bergambar dengan pemenang kategori forum pelajar sempena Pertandingan Forum Pelajar dan Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sabah 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politik Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Henry Shin Chee On.

Disertai sembilan sekolah menengah persendirian Cina seluruh negeri, pertandingan yang berlangsung di Dewan Amil Jaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah menyaksikan Sekolah Menengah Tshung Tsin Kota Kinabalu dinobatkan johan keseluruhan pertandingan terbabit.

Kemenangan berkenaan sekaligus mencipta sejarah bagi sekolah itu apabila memegang gelaran juara kategori forum pelajar untuk tiga tahun berturut-turut.

Kejayaan lebih bermakna apabila salah seorang anggota kumpulan diumumkan sebagai Pengerusi Terbaik selain memenangi tempat pertama bagi kategori deklamasi puisi.

Setiausaha Politik Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Henry Shin Chee On (kiri) menerima cenderamata daripada Pengarah DBP Sabah, Aminah Awang Basar sempena Pertandingan Forum Pelajar dan Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sabah 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Bakal mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan pada 6 Ogos hadapan di DBP Kuala Lumpur, johan kategori forum pelajar menerima wang tunai RM200 seorang, piala iringan serta sijil penyertaan.

Kategori deklamasi puisi pula membawa pulang wang tunai RM200, piala iringan serta sijil penyertaan manakala Pengerusi Terbaik serta Ahli Forum Terbaik turut memenangi wang tunai RM200, piala iringan serta sijil penyertaan. -SabahNews Today