Pilih Bahasa

Pelajar IPT di Sabah akan dibenarkan pulang selepas prosedur berkaitan selesai

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pergerakan keluar pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta institusi pengajian tinggi (IPT) lain di negeri ini hanya akan bermula selepas segala prosedur berkaitan selesai.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata terdapat beberapa prosedur perlu dilakukan dan kini koordinasi sedang diatur.

Sebahagian daripada 122 pelajar tajaan Kumpulan Yayasan Sabah di Semenanjung Malaysia serta Sarawak selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“UMS sudah dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai pengendali logistik yang akan mengatur kenderaan untuk pelajar pulang ke daerah masing-masing.

“Begitu juga dengan pelajar-pelajar Sabah yang ada di UMS Sandakan, UMS Labuan dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) lain yang berjumlah kira-kira lebih 3,000 orang akan bergerak balik ke Sarawak dan Semenanjung apabila semua prosedur sudah dilaksanakan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob (kanan) bersama Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Jangan salah faham dan menyalahkan kerajaan negeri kerana semuanya disusun serta diatur oleh jawatankuasa yang dikendalikan KPT.

“KPT sudah diberi mandat bagi mengatur dalam perkara ini,” katanya ketika sidang media sewaktu menyambut ketibaan pelajar sekolah menengah tajaan Kumpulan Yayasan Sabah daripada Semenanjung dan Sarawak, dekat sini, hari ini.

Lambaian keceriaan 20 pelajar tajaan Kumpulan Yayasan Sabah yang duduk dalam penjarakan sosial di dalam sebuah bas sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu menyatakan pelajar UMS berasa tertekan ekoran arahan kuarantin wajib selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang.

Seramai 122 pelajar tajaan Kumpulan Yayasan Sabah di Semenanjung serta Sarawak selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sekitar jam 1.17 petang tadi menggunakan pesawat sewa khas Air Asia.

Salah seorang pelajar tajaan Kumpulan Yayasan Sabah memasukkan bagasi miliknya sebelum menaiki bas sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Turut hadir Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria.

Sementara itu, Yusof berkata pihaknya akan menambahbaik rekod pelajar Sabah di luar negara dalam memastikan tiada sebarang kecelaruan berlaku apabila berhadapan dengan masalah pada masa hadapan.

“Terdapat pelajar kita yang berkemampuan melanjutkan pengajian ke luar negara tidak memaklumkan keberadaan mereka.

Sebahagian daripada 122 pelajar tajaan Kumpulan Yayasan Sabah di Semenanjung Malaysia serta Sarawak selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Setakat ini, kita hanya ada rekod kira-kira 600 orang pelajar Sabah di luar negara.

“Ini suatu perkara yang harus kita pelajari kerana ia boleh menjadi rumit apabila berlaku situasi seperti Covid-19 ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob hadir menyambut ketibaan pelajar tajaan Kumpulan Yayasan Sabah dari Semenanjung Malaysia serta Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Bagaimanapun, kita akan berusaha mendapat data mengenai semua pelajar di di luar negara sebagai rekod,” katanya. -SabahNewsToday