Pilih Bahasa

Pelajar lemas ketika mandi sungai

Oleh Junaidi Ladjana

Pasukan bomba dari Unit PPDA berjaya menemui mangsa di dasar sungai Kampung Terawih, Putatan. Gambar SNT/ Ihsan Bomba

PUTATAN: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua ditemui lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di sungai Kampung Terawih, di sini malam tadi.

Mayat Hadif Farhan Zuhairul, 14, ditemui anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, di dasar sungai itu pada jam 7.14 malam.

Difahamkan mangsa bersama tiga rakannnya mandi di sungai berkenaan kira-kira jam 4 petang.

Ketika mandi, mangsa cuba berenang ke tengah sungai untuk mengambil bola namun gagal sebelum dia dilihat terkapai-kapai meminta pertolongan.

Rakannya yang melihat keadaan itu cuba menyelamatkan namun gagal sebelum meminta bantuan orang awam untuk menghubungi pihak bomba.

Hadif Farhan Zulhairul, 14, ditemui di dasar sungai jam 7.14 malam tadi. Gambar SNT/ Ihsan Bomba

Ketua BBP Penampang, Zainal @ John Radsung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.29 petang yang memaklumkan seorang pelajar hilang dikhuatiri lemas di sungai berkenaan.

“Susulan itu, saya bersama 11 anggota BBP Penampang bergegas ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa. Operasi turut dibantu anggota PPDA dari BBP Kota Kinabalu.

“Pada Jam 7.14 malam tadi, anggota PPDA berjaya menemui mangsa di dasar sungai berkenaan, tidak jauh dari lokasi terakhir dia dilihat,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Pasukan bomba melakukan operasi mencari mangsa di sekitar sungai Kampung Terawih, Putatan. Gambar SNT/ Ihsan Bomba

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim yang turut berada di lokasi kejadian memberitahu mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat. -SabahNewsToday