Pilih Bahasa

PELAJAR MAUT DIPERCAYAI LEMAS DI KOLAM RENANG LIKAS

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Seorang remaja maut selepas dipercayai lemas di kolam renang Kompleks Sukan Likas pada Selasa.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata mangsa, 14, meninggal dunia selepas menjalani sesi pembelajaran berenang di kolam tersebut.

Mayat mangsa sedang dipindahkan untuk dibawa ke Jabatan Forensik QE1 dari QE2 bagi menjalani bedah siasat. Gambar SNT/Ehsan IPD KK

“Kira-kira pukul 11.15 pagi Selasa, sekumpulan pelajar asrama bersama guru dan jurulatih daripada sebuah sekolah di sekitar Luyang telah mengadakan sesi pembelajaran di kolam renang Kompleks Sukan Likas.

“Semasa sesi tersebut, seorang pelajar telah didapati lemas dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dua untuk rawatan lanjut.

“Setibanya di HQE Dua kira-kira pukul 12 tengah hari, mangsa menerima rawatan dan bantuan pernafasan, namun pada pukul 12.38 tengah hari pegawai perubatan telah mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Lokasi sekumpulan pelajar asrama bersama guru dan jurulatih menjalankan sesi pembelajaran berenang. Gambar SNT/Ehsan IPD KK

Habibi berkata siasatan awal di tempat kejadian tidak menunjukkan berlakunya sebarang tanda-tanda unsur jenayah dikaitkan sebagai punca kematian mangsa.

Tambahnya bedah siasat akan dijalankan pada hari ini oleh pegawai perubatan Jabatan Forensik HQE Satu.

“Punca kematian masih belum dapat diketahui sementara menunggu keputusan Toksikologi dari Jabatan Kimia.

“Siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya. -SabahNewsToday