Pilih Bahasa

Pelajar maut, motosikal terlanggar lembu

Oleh Junaidi Ladjana

KENINGAU: Seorang pelajar maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lembu yang dipercayai tiba-tiba melintas jalan di Jalan Pasir Putih, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa lelaki berusia 17 tahun meninggal dunia ditempat kejadian akibat parah dibahagian kepala.

Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang rosak teruk selepas terlanggar lembu yang melintas jalan di Jalan Pasir Putih, Keningau.-Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata ketika kejadian mangsa dikatakan bergerak dari Taman Golf View menuju ke Taman Luagan melalui Jalan Pasir Putih.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai terlanggar seekor lembu yang berada di atas jalan.

“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata susulan kejadian itu juga motosikal ditunggang mangsa rosak teruk manakala lembu berkenaan mengalami kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu disebabkan oleh haiwan melintas dan siasatan masih diteruskan

Lembu yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pasir Putih, Keningau.-Gambar SNT/Ihsan Polis

“Jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – SabahNewsToday