Pilih Bahasa

Pelajar Politeknik lemas di Kampung Nahaba, Kota Belud

Oleh Alfred Petrus

KOTA BELUD: Seorang pelajar Politeknik maut dipercayai lemas ketika sedang mandi sungai bersama rakan-rakannya di salah sebuah kawasan eko pelancongan, di sini pada Sabtu petang.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata ketika kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, mangsa Asrul Hanna, 18, dikatakan tidak kelihatan bersama-sama 19 pelajar lain selepas naik ke tebing sungai.

Sungai di kawasan Eco Pelancongan Kalangadanku Kampung Nahaba, Kota Belud. Gambar SNT/Ihsan Polis

Katanya siasatan awal mendapati saksi menyedari mangsa tidak bersama dengan rombongan, lalu saksi dan seorang lagi sahabat mangsa terjun ke dasar sungai berkenaan untuk mencari mangsa.

Mangsa seterusnya ditemui lemas di kawasan sungai yang kedalamannya lebih kurang 2.13 meter.

Saksi seterusnya membawa mangsa naik ke darat dan menghubungi pihak Hospital Kota Belud.

“Pasukan perubatan telah sampai di tempat kejadian lebih kurang pukul 4.30petang membawa mangsa menaiki ambulans ke Hospital Kota Belud.

“Semasa dalam perjalanan bantuan pernafasan (CPR) telah dibuat dan mendapati mangsa ‘No Sign Of Life’.

“Mayat berada di hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zaidi turut menyatakan bahawa siasatan di tempat kejadian mendapati rombongan pelajar tersebut tiba ke eko pelancongan tersebut kira-kira pukul 1 petang sebagai aktiviti riadah.

Katanya aktiviti itu dirancang sendiri oleh 20 orang pelajar institusi tersebut dan mendapat keizinan untuk keluar daerah daripada Penasihat Akademik Politeknik.

Jelasnya sebelum kejadian berlaku, lebih kurang pukul 2 petang, kesemua 16 pelajar lelaki turun ke sungai untuk mandi-manda sebelum naik ke darat setelah hampir 45 minit berada dalam sungai berkenaan untuk berehat.

Tambahnya siasatan masih diteruskan dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). -SabahNewsToday